Oleh Nor Faizah Mohamed


Banyak perkara yang boleh dilakukan dalam usaha me­nyumbang kepada aktiviti kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Menderma dan kerja sukarelawan antara usaha yang kerap dilakukan apabila sesebuah badan, organisasi atau individu memerlukan bantuan.

Cathay Pacific Airways bagaimanapun tampil dengan program menyeronok­kan membabitkan aktiviti memasak bersama 30 anak yatim dan kurang bernasib baik dari House of Joy, Puchong.

Aktiviti yang turut dianjurkan bersama 4Charity, sebuah portal kebajikan dalam talian, itu dimulakan dengan lawatan ke bangunan Brahims Airline Catering (BAC) yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menerusi lawatan ini, kanak-kanak terbabit bersama penjaga mereka dapat melihat lebih dekat operasi BAC yang menyediakan hidangan dalam pesawat domestik dan antarabangsa.

Tidak ketinggalan mereka dibawa ke bilik di­ngin beku yang menempat­kan bahan mentah seperti ayam, daging dan makanan laut.

Menariknya 30 kanak-kanak ini berpeluang menikmati sate ayam yang menjadi tanda pengenalan Brahims dalam industri itu.

Chef Eksekutifnya, Scott Belfield seterusnya mengisi slot aktiviti dengan membimbing kanak-kanak terbabit menyediakan dua jenis biskut, cip coklat dan kacang makadamia, yang bukan saja mudah dihasilkan malah enak juga berkhasiat.

Aktiviti seharian itu kemudiannya diakhiri dengan majlis makan malam yang dihidangkan di kafe BAC.

Sama seperti apa yang dihidangkan dalam pesawat, kanak-kanak House of Joy nyata teruja mencuba menu menarik seperti hidangan ikan bersama nasi, mi ayam, popia, buah-buahan, coklat dan jus.

Mereka juga menerima layanan seperti dalam pesawat yang dikendalikan Pengurus Negara Cathay Pacific bagi Malaysia dan Brunei, Mary Chan, bersama Pengurus Dragonair Pulau Pinang, Clement Lau serta beberapa sukarelawan syarikat penerbangan itu.

"Objektif kami ialah memberikan kegembiraan dan keseronokan kepada kanak-kanak itu dengan membawa mereka merasai pengalaman bak berada dalam pesawat.

"Kami percaya kanak-kanak ini mempunyai masa depan yang cerah dan perlukan sokongan untuk mengembangkan lagi pe­ngalaman dalam hidup mereka.

"Cathay Pacific bergerak ke arah jenama yang me­ngambil berat atas usaha insaniah dan ini antara salah satu cara untuk kami menambah nilai dalam kehidupan mereka di sekeliling kita," kata Mary.

Tidak lengkap ke KLIA tanpa singgah ke anjung tinjau dan kanak-kanak terbabit dibawa menyaksikan ketibaan serta pelepasan pesawat pada malam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:00 AM