Zurainah (kiri) menghadiahkan peralatan kembali ke sekolah untuk penerima Dana AIDS Pediatrik Malaysia.
Zurainah (kiri) menghadiahkan peralatan kembali ke sekolah untuk penerima Dana AIDS Pediatrik Malaysia.
SELEBRITI Reben Merah, Aaron Aziz (tengah) tidak ketinggalan menyertai aktiviti bersama peserta.
SELEBRITI Reben Merah, Aaron Aziz (tengah) tidak ketinggalan menyertai aktiviti bersama peserta.
Dr Adeeba (kanan, barisan tengah) bersama 30 kanak-kanak yang diraikan ketika aktiviti Kidz Day Out!.
Dr Adeeba (kanan, barisan tengah) bersama 30 kanak-kanak yang diraikan ketika aktiviti Kidz Day Out!.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Bermain dan belajar sememangnya lumrah dalam kehidupan kanak-kanak. Tanpa mengetepikan kepentingan dua perkara itu, ia membantu kanak-kanak membesar dengan lebih baik, sekali gus melahirkan personaliti lebih positif dalam diri mereka.

Tanpa mengira bangsa, warna kulit, agama, latar belakang mahupun penyakit atau masalah kesihatan yang dialaminya, setiap kanak-kanak perlu diberi peluang merasai nikmat bermain dan belajar dalam suasana kondusif.

Atas kesedaran itu, Yayasan Aids Malaysia bersama Yayasan Berjaya Cares meraikan 30 kanak-kanak yang hidup dengan HIV dan AIDS dari sekitar Lembah Klang dengan aktiviti Kidz Day Out! di Cafe Kidz & Creme, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aktiviti seharian itu dipenuhi pelbagai acara menarik antaranya kelas memasak, lukisan pasir, persembahan badut dan pertunjukan silap mata.

Kanak-kanak terbabit adalah sebahagian daripada penerima sumbangan Dana AIDS Pediatrik. Dana AIDS Pediatrik yang diwujudkan pada 2008, adalah satu skim bantuan dalam Yayasan AIDS Malaysia dengan menyasarkan bantuan ke atas kanak-kanak kurang bernasib baik yang hidup dengan HIV.

Ia menyalurkan bantuan kewangan sehingga RM200 kepada 150 penerima di bawah usia 12 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah merangkumi pendapatan kurang RM1,500 sebulan.

Bantuan kewangan itu lazimnya digunakan sebagai peruntukan perjalanan ke hospital bagi mendapatkan rawatan di samping keperluan harian.

Awal tahun ini, yayasan itu berdepan masalah kekurangan dana bagi meneruskan projeknya. Yayasan Berjaya Cares kemudian tampil sebagai rakan bantuan dengan komitmen tajaan RM360,000 selama setahun, sekali gus seiring dengan sambutan Hari Berjaya (Berjaya Founder’s Day) yang berlangsung sepanjang Mac ini.

“Apa dilakukan Berjaya Cares ini diharapkan dapat membantu memberi sokongan berterusan kepada kanak-kanak terbabit.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penemuan sains perubatan untuk HIV makin berkembang lalu meningkatkan lagi tahap penjagaan dan kualiti kehidupan mereka yang hidup dengan HIV ini.

“Makin ramai kanak-kanak yang dapat meneruskan kehidupan secara normal, lebih sihat dan bermakna. Bagaimanapun, ini hanya boleh dilaksanakan jika kanak-kanak itu dan keluarga mereka mempunyai akses kepada rawatan yang berterusan.

“Justeru Dana AIDS Pediatrik ini membantu memastikan kanak-kanak itu mendapat akses kepada kemudahan rawatan terbabit yang kini boleh didapati secara percuma di hospital kerajaan.

“Tanpanya, kanak-kanak ini mungkin berdepan risiko terlepas sesi rawatan hingga membuatkan mereka sukar dirawat secara sepatutnya,” jelas Presiden Yayasan AIDS Malaysia, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman.

Memetik kata-kata Datuk Zurainah Musa, Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, HIV dan AIDS adalah antara cabaran terbesar dalam masalah kesihatan global dan kanak-kanak antara golongan paling terkesan dengan implikasinya.

“Di saat kita berjaya mengurangkan transmisi ibu kepada bayi menerusi beberapa program HIV di negara ini, masalah sosioekonomi dalam kalangan masyarakat membuatkan ancaman ini memberi impak besar kepada kanak-kanak dan ahli keluarganya.

“Kami bekerjasama dengan Yayasan AIDS Malaysia bagi membantu meningkatkan lagi usaha memberi kesedaran mengenai kesannya kepada masyarakat, di samping menyokong kanak-kanak terbabit menjalani kehidupan lebih baik dan mengurangkan bebanan kewangan keluarga mereka,” katanya.

Aktiviti Kidz Day Out! adalah acara pertama dalam siri program dirangka Yayasan AIDS Malaysia bagi meraikan sambutan Hari AIDS Sedunia, baru-baru ini.

Selain Yayasan Berjaya Cares, ia turut dimeriahkan dengan pembabitan daripada Selebriti Reben Merah Yayasan AIDS Malaysia, Aaron Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 12:18 PM