Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali baru Terengganu, Ahmad Yusof lulus ujian pertama apabila pasukannya menewaskan Sarawak 4-2, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Bagaimanapun, pelawat terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Ryan Alan Griffiths yang mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol Mohd Sharbinee Alawee Ramli pada minit kelapan.

Tersentak jaringan itu, tuan rumah nyaris menyamakan kedudukan menerusi Gustavo Lopez namun sepakan pemain itu sedikit tersasar sebelah kiri pintu gol lawan.

Semangat tidak putus asa pemain skuad Peteh wajar dipuji dan akhirnya pemain meningkat naik Muhd Fakhrurazi Musa menceriakan penonton tuan rumah dengan merembat kencang gol penyamaan pada minit ke-23.

Tujuh minit berselang, Muhd Fakhrurazi hampir menambah jaringan namun berjaya dihalang pertahanan pelawat.

Sebelum babak pertama tamat, pemain tengah Ismail Faruqi Ashari menambah jaringan Terengganu hasil kombinasi dengan kapten Ahmad Nordin Alias pada minit ke-33.

Bersambung babak kedua Sarawak memperkemaskan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ivan Fatic pada minit ke-53. Semangat melawan kental yang dipamerkan anak buah Ahmad Yusof terus terserlah apabila berjaya menambah jaringan ketiga pada minit ke-63 sekali lagi menerusi Ismail Faruqi.

Terengganu terus menambah derita pelawat apabila tolakan Norshahrul Idlan Talaha tertampan pertahanan pelawat Nyema Patrick Gerhardt pada minit ke-84 untuk gol keempat tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 12:37 AM