Syafie Naswip
Syafie Naswip

Syafie Naswip, 22, terbabit dengan lakonan secara tidak sengaja apabila menemani adik saudaranya menjalani uji bakat untuk filem Mukhsin.

Bagaimanapun, dia dipanggil pengarah Allahyarhamah Yasmin Ahmad menjalani uji bakat membawa watak Mukhsin.

Ketika itu usianya baru 14 tahun dan dia berjaya membawa watak Mukhsin dalam filem pertama dan dinobatkan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20).

Sejak itu, namanya jadi sebutan dan sekali lagi menjayakan filem arahan Yasmin, Talentime dan banyak berlakon drama.

Saat namanya jadi sebutan, dia tidak pernah malu mengaku daripada keluarga susah. Ayahnya hanyalah pemotong rumput dan kadangkala mengambil upah mengecat rumah orang.

Keadaan keluarganya membuatkan dia terus berusaha bukan hanya demi masa depannya tetapi juga mengubah nasib keluarga. Sebagai anak tunggal, dia menyedari tanggungjawab yang digalasnya.

Mesra dipanggil Ayie dalam kalangan ahli keluarga, Syafie membuktikan lakonannya semakin matang seiring usia pembabitannya dalam dunia seni.

Dia membuktikan kehadirannya dalam seni diiringi bakat apabila menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di FFM22 menerusi filem Talentime dan anugerah sama di FFM25 bagi filem Songlap.

Syafie juga meraih Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem) pada Anugerah Seri Angkasa 2012 (ASK2012) dan Pelakon Lelaki Terbaik di ASK2007.

Tidak hanya di layar perak dan TV, Syafie turut mencuba bakat menjayakan persembahan teater P Ramlee The Musical (musim 1), Titik-Titik Perjuangan 1, Titik-Titik Perjuangan 2 dan Gelanggang Tok Wali.

Wajahnya juga menghiasi ik-lan komersial Silky Girl dan Kereta Buruk (Hari Merdeka).

INFO:

Nama penuh: Mohammad Syafie Naswip

Tarikh Lahir: 2 Ogos 1992

Tempat Lahir: Kuala Lumpur

Drama: Impian, Dunia Batinku, Nur Kasih The Movie, Juvana, Dosa Semalam, Pelarian, Kasih Tak Tercapai, Jidin, Ampunkan Dosaku, Budak Flat Jalan Bayan, Ride dan Oh My English.

-Sehingga kini masih dikenali sebagai Mukhsin

-Belajar di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia ketika darjah satu dan berpindah ke SK Gombak Utara dari darjah dua hingga enam

-Mencipta sejarah pelakon termuda menang anugerah lakonan di FFM dan ASK

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 7:57 AM