Bangkok: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas diserang seekor gajah ketika makan malam di tepi pantai di Rayong dekat sini, kata polis semalam.

Polis berkata, kejadian berlaku Isnin lalu ketika mangsa dan rakannya yang makan dihampiri seorang gembala gajah.

Gembala berkenaan menawarkan kedua-dua lelaki itu makanan yang dijualnya bagi membolehkan kedua-duanya memberi gajah itu makan.

“Tiba-tiba gajah itu menusuk dada mangsa dengan gadingnya dan menendang seorang lagi.

“Mangsa yang berusia 28 tahun meninggal dunia di hospital pada Selasa lalu manakala rakannya yang berusia 30 tahun masih dirawat,” kata jurucakap polis, Thawat Nongsingh.

Katanya, gembala itu ditahan kerana melanggar undang-undang perlindungan haiwan dan kecuaian sehingga menyebabkan kematian.

Hukuman maksimum bagi kesalahan cuai hingga menyebabkan kematian adalah 10 tahun penjara dan denda.

Haiwan liar termasuk gajah dilarang dibawa ke kawasan bandar, tetapi gembala gajah sering menggunakan haiwan itu untuk meminta sedekah.

Gembala gajah biasanya menjual makanan kepada pelancong untuk diberikan kepada haiwan itu dan mengenakan bayaran untuk bergambar. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 7:56 AM