Anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersama-sama memadamkan kebakaran. FOTO ihsan bomba dan JPAM
Anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersama-sama memadamkan kebakaran. FOTO ihsan bomba dan JPAM
Norasikin Daineh

Semporna: Lapan rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Air, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 10 pagi itu, dianggarkan 10 keluarga tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barangan dan dokumen penting kerana api marak dengan pantas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Semporna Lajah Abdul Jalili berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.05 pagi dan seramai 13 anggota bomba bersama dua jentera ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, operasi memadam kebakaran segera dilakukan.

"Api dikawal pada 10.18 pagi dan setakat ini lapan rumah musnah dalam kejadian terbabit," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Menurut Lajah, pihaknya turut mengalami kesukaran memadamkan api berikutan masalah kekurangan sumber air di kawasan berkenaan.

"Bekalan air yang dibawa menggunakan jentera bomba habis digunakan ketika memadamkan api dan pili air di kawasan berkenaan tidak dapat digunakan.

"Kita terpaksa mengambil masa 30 minit untuk mendapatkan bekalan air bagi meneruskan operasi memadamkan kebakaran terbabit sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 2:45 PM