Kathmandu: Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan berbelas-belas lagi dilapor hilang dalam kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat di timur laut Nepal, semalam.

Pegawai tempatan Surendra Kumar Bhattarai berkata, kejadian itu yang berlaku beberapa minggu selepas dua gempa bumi meragut 8,700 nyawa memusnahkan puluhan rumah di daerah Taplejung.

“Kami menemui 15 mayat. Kira-kira 15 lagi dilapor hilang. Mereka dilapor berada dalam rumah yang musnah itu,” kata Bhattarai.

Menurutnya, 10 orang cedera dan polis berada di kawasan kejadian untuk membantu mangsa.

Puluhan orang mati setiap tahun akibat banjir dan tanah runtuh setiap kali musim monsun di negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 8:37 AM