FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: Hasrat seorang lelaki menghadiri temuduga kerja di sebuah universiti di sini, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kampung Bukit Tok Beng, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi, mangsa, Muhammad Warass Musa, 21, menunggang Honda EX5 dari rumahnya di Kampung Masjid Batu Burok ke Gong Badak untuk sesi temuduga berkenaan.

Bagaimanapun, ketika sampai di Kampung Bukit Tok Beng, sebuah kereta keluar dari bahu jalan dan menghalang laluan mangsa.

Mangsa yang mengelak kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori muatan barang lusuh dipandu lelaki berusia 30-an mengakibatkan mangsa parah di leher dan kepala sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Nik Mohd Zain Nik Omar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 3:37 PM