WON (dua dari kiri) pada pelancaran model baru Triton.
WON (dua dari kiri) pada pelancaran model baru Triton.

Kuala lumpur: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) Sdn Bhd, pengedar kenderaan Mitsubishi di negara ini menyasarkan menguasai pasaran trak pikap sehingga 20 peratus dengan jualan kira-kira 900 unit sebulan menerusi model terbarunya, Mitsubishi Triton.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Won-Chul Yang berkata, model terbaru itu bakal menyumbang lebih 50 peratus jumlah jualan keseluruhan MMM yang disasarkan sebanyak 15,500 unit tahun ini.

Beliau berkata, Triton terbaru itu mempunyai ciri menarik dalam kelasnya sehingga menerima tempahan melebihi 2,000 unit sejak dibuka 1 April lalu malah memberi nilai wang terbaik.

“Saya percaya pelanggan akan berpuas hati dengan model ini yang diimport dari Thailand kerana ia dilengkapi ciri terbaik dalam kelasnya seperti butang penghidup enjin tanpa kunci, lampu hadapan Xenon HID dengan lampu siang serta penukaran pedal gear di belakang stereng,” katanya di sini, semalam.

Kenderaan itu menggunakan enjin 2.5 liter terbaik dalam kelasnya yang mampu menyalurkan kuasa maksimum 178 PS serta tork mencecah 400 Nm. Kuasa tork itu lebih tinggi sehingga 50 Nm berbanding model sebelum ini untuk memberikan prestasi lebih baik.

Selain itu, MMM turut menawarkan varian Mitsubishi Triton Quest 4X2 menggunakan enjin 2.5 liter turbo diesel yang menghasilkan 110 PS dan tork setinggi 200 Nm.

Trak pikap itu menawarkan lima varian manakala spesifikasi tertinggi iaitu Mitsubishi Triton VGT Adventure transmisi automatik dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insurans iaitu RM108,273.68.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 9:17 AM