SELAIN percintaan, Matah Ati menceritakan kisah perjuangan menentang penjajah Belanda.
SELAIN percintaan, Matah Ati menceritakan kisah perjuangan menentang penjajah Belanda.
PEMENTASAN unik dan mencabar kerana setiap babak diceritakan dalam bentuk tarian.
PEMENTASAN unik dan mencabar kerana setiap babak diceritakan dalam bentuk tarian.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Pementasan teater lakon tari Matah Ati di Istana Budaya, Kuala Lumpur yang mengangkat kisah benar pengorbanan dan cinta di Pulau Jawa, Indonesia pada abad ke-18 menemui peminat teater tanah air selama tiga hari, baru-baru ini.

Teater arahan dan karya Bandoro Raden Ayu Atilah Soeryadjaya yang turut bertindak sebagai pereka busana dan penerbit memberi satu pengalaman berbeza saat menyaksikan persembahan penuh kebudayaan itu.

Pengalaman membesar di Istana Mangkunegaran, kota Surakarta memberi inspirasi kepada Atilah untuk menghasilkan satu penceritaan yang kaya dengan budaya dan tradisi Jawa.

Kisah kepahlawanan Rubiyah dalam Matah Ati dipilih daripada ribuan kisah sejarah yang ada di Indonesia bagi dipersembahkan bukan saja di Malaysia, tetapi juga di Indonesia dan Singapura.

Kejayaan pementasan di Solo dan Singapura meyakinkan Atilah dan pasukan produksinya dalam membawa dan memperkenalkan keunikan Matah Ati kepada masyarakat Malaysia.

Menurut Atilah, kesedaran pada visual menjadi keutamaan penonton termasuklah gerak tari, pencahayaan, kostum, aksesori, muzik dan banyak lagi.

“Bukan mudah untuk membangkitkan rasa teruja penonton. Justeru, setiap penari dituntut memberikan sepenuh penghayatan pada setiap babak,” katanya.

Atilah berkata, cabaran dalam persembahan itu ialah tarian kerana setiap babak diceritakan dalam bentuk tarian dan memerlukan mereka menukar kostum dalam tempoh tiga minit.

Pementasan di Malaysia dibawakan oleh Enfiniti Vision Media.

Presidennya, Puan Seri Tiara Jacquelina berkata, dia bangga dapat bekerjasama dengan produksi Indonesia dan sangat mengalu-alukan kedatangan mereka ke sini.

“Saya boleh lihat sendiri bagaimana semangat dan dedikasi mereka mempersembahkan Matah Ati. Saya sentiasa belajar daripada mereka kerana mereka pasukan yang sangat hebat,” katanya.

Matah Ati mengisahkan gadis dari desa Matah bernama Rubiyah membulatkan tekad menerima lamaran daripada seorang pahlawan yang terkenal dengan keberaniannya, Raden Mas Said menentang penjajah Belanda di Tanah Jawa pada pertengahan abad ke-18.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 11:38 AM