RAKAMAN video menunjukkan Zhang sedang membelasah Lu.
RAKAMAN video menunjukkan Zhang sedang membelasah Lu.

Chengdu, China: Seorang pemandu wanita yang mendapat simpati orang ramai selepas rakaman video memaparkan dia dibelasah seorang lelaki tersebar di Internet kini dikecam pula pengguna laman sosial.

Ia gara-gara satu lagi video yang memaparkan wanita itu memandu secara melulu sehingga mencetuskan kemarahan lelaki yang membelasahnya.

Pada minggu lalu, satu video menunjukkan wanita dikenali sebagai Lu diseret keluar dari kereta sebelum dibelasah seorang pemandu lelaki yang dikenali sebagai Zhang.

Serangan itu menyebabkan wanita itu cedera di muka dan dirawat di hospital manakala Zhang ditahan polis.

Pengguna Internet ‘menyerang’ Zhang dan mahu lelaki berkenaan dikenakan tindakan keras.

Bagaimanapun, polis menyiarkan satu lagi video yang dirakam Zhang menunjukkan tindakan Lu menukar laluan keretanya secara bahaya sehingga hampir melanggar kereta lelaki itu.

Zhang memberitahu polis tindakan itu menjadi punca dia mengejar kereta Lu sebelum menahan dan memukul mangsa.

Video terbaru itu menyebabkan pengguna Internet yang sebelum ini menyokong Lu kini beralih arah dengan mengecam wanita berkenaan.

Satu tinjauan pendapat yang dijalankan sebuah laman web juga mendapati lebih 70 peratus pengguna berpendapat Lu ‘layak’ dipukul.

Lu yang ditemubual sebuah akhbar mengakui kesalahannya itu dan meminta maaf.

“Saya mengaku memandu secara melulu dan tidak berniat membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 11:17 AM