FOTO ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
FOTO ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BJohor Bahru: Sebuah Perodua Myvi rosak di bahagian belakang dipercayai dibakar dalam kejadian di tempat letak kereta pusat beli-belah di Jalan Tun Abdul Razak, Kampung Kebun Teh di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, bahagian belakang kereta milik pekerja kedai telefon bimbit di pusat beli-belah itu rosak dipercayai akibat perbuatan khianat.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.15 petang.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi tujuh minit kemudian, bahagian belakang kereta itu sudah musnah terbakar.

"Operasi ditamatkan 4.36 petang. Ketika itu keadaan selamat dan kes diserahkan kepada polis kerana dipercayai terdapat unsur khianat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Beliau turut menafikan dakwaan orang ramai kononnya kejadian itu berlaku ada berkaitan dengan kes kemalangan di Lebuhraya DUKE, 2 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:24 PM