RAMASAMY (tengah) bersama Pembantu Naib Presiden Kumpulan Institusi Kewangan BNI Bank, Agus N Bayu Mahendra (kiri) dan Pengurus BRI Bank, Edi Masrianto.
RAMASAMY (tengah) bersama Pembantu Naib Presiden Kumpulan Institusi Kewangan BNI Bank, Agus N Bayu Mahendra (kiri) dan Pengurus BRI Bank, Edi Masrianto.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Merchantrade Asia Sdn Bhd menyasarkan peningkatan nilai transaksi kepada RM4.1 bilion bagi penghantaran wang ke luar negara tahun ini berbanding RM3.3 bilion dicatatkan pada 2014.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Ramasamy K Veeran berkata, pihaknya turut menjangka penyumbang terbesar adalah daripada tenaga kerja Indonesia (TKI) iaitu RM2.1 bilion menjelang akhir tahun ini.

Katanya, menerusi kerjasama yang dijalin antara Merchantrade Asia serta PT Bank Rakyat Indonesia (BRI) dan PT Bank Negara Indonesia (BNI), pihaknya yakin lebih banyak kawasan di seluruh republik itu dicapai.

“Indonesia masih menjadi pasaran yang dijangka terus berkembang bagi Merchantrade Asia dan kebanyakan TKI mempunyai purata penghantaran wang ke negara mereka minimum RM890 sebulan serta sekurang-kurangnya, enam kali setahun.

“Bagi jumlah keseluruhan industri ini di Malaysia saja dianggarkan RM32 bilion dan kami menguasai pasaran sebanyak 10.4 peratus tahun lalu,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurutnya, tahun ini Merchantrade Asia menyasarkan untuk meningkatkan penguasaan pasaran lebih kurang 12.5 peratus disokong dengan pertambahan jumlah cawangan dan ejen yang dilantik di seluruh negara.

Ramasamy berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 66 cawangan dan 258 ejen di seluruh negara dan tahun ini, syarikat bercadang membuka 60 cawangan dan meningkatkan lebih 300 jumlah ejen yang menggunakan sistem pengiriman wang yang dibangunkan sendiri.

Beliau berkata, selain tenaga kerja asing yang berada di negara ini membuat penghantaran wang, pasaran pelajar juga dilihat meningkat menerusi penghantaran wang oleh ibu bapa kepada anak mereka yang belajar di luar negara.

“Malah, kami menyaksikan peningkatan penghantaran wang menerusi transaksi secara online iaitu lebih kurang RM450 juta dicatatkan tahun lalu.

“Kami kini dalam peringkat akhir membangunkan aplikasi bagi membolehkan pengguna memindahkan wang menggunakan telefon pintar atau tablet yang boleh dilakukan pada bila-bila dan di mana sahaja,” katanya.

BRI mempunyai lebih kurang 10,000 cawangan di seluruh Indonesia serta 25,000 ejen, manakala BNI mempunyai sebanyak 1,600 cawangan dengan 10,000 ejen setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 7:59 AM