SEBAHAGIAN peserta bergambar kenangan selepas program.
SEBAHAGIAN peserta bergambar kenangan selepas program.
Oleh Mohd Badlishah Md Ali


Petaling Jaya: Kejohanan Bowling Antara Pasukan BCWA-SportsUnite 2015 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, baru-baru ini mendapat sambutan hangat.

Program itu dianjurkan bersama Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA), Kelab Sukan SportsUnite, Sunway Mega Lanes dan disokong Nestle Products Sdn Bhd.

Berdasarkan syarat utama, setiap pasukan wajib mendaftarkan tiga pemain dengan sekurang-kurang dua pemain berlainan kaum.

Pasukan Happy Go Lucky diwakili Connie Yee, Maharani Murugasu dan Lim Beng Choo membuktikan kemampuan selepas mengungguli kejohanan dengan catatan 974 jatuhan pin manakala pencabar terdekat, pasukan Pretty-Pink diwakili Prof Dr Zaharah Aiyub, Tracy Tai dan Mohd Khalid Amin, 899.

Tempat ketiga milik Fast & Furious (Looi Fuan Kheng, Halimahton Shaari dan Suy Siew Mui), 864 manakala tempat keempat disandang Top Secret (Melissa Wong, Peggy Gomez dan Lim Poh Keow, 863).

Zaharah yang juga Presiden BCWA berkata, program itu cukup bermanfaat kepada pihaknya dan mereka berterima kasih kepada SportsUnite, Sunway Mega Lanes dan Nestle kerana menganjurkan pertandingan itu.

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan Zaharah yang diiringi Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite Datuk Dina Rizal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 9:52 AM