DARI kiri, Dr Priyadarshini, Dr Doshi dan Dr Soultanov yang menjadi panel dalam bengkel manakala Datin Swanee (kanan) sebagai moderator.
DARI kiri, Dr Priyadarshini, Dr Doshi dan Dr Soultanov yang menjadi panel dalam bengkel manakala Datin Swanee (kanan) sebagai moderator.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Pernahkah anda berhadapan situasi ini. Tiba-tiba ketua di tempat kerja meminta anda menyiapkan kertas kerja dalam tempoh yang singkat sedangkan anda perlu menyudahkan banyak perkara termasuk bertemu pelanggan di luar.

Dengan tidak semena-mena fikiran anda berkecamuk dan terasa ingin marah. Jantung berdegup kencang dan perut memulas serta-merta. Tiba-tiba saja badan seperti banyak angin dan rasa loya berpanjangan.

Mengapa ini berlaku dan kaitannya dengan tekanan? Tekanan sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan emosi, perut dan usus iaitu komponen saluran gastrousus. Ini kerana apabila tertekan, tekanan darah akan meningkat dan menurun.

Perubahan yang tidak menentu ini boleh menyebabkan saluran darah berfungsi secara tidak normal. Fenomena fisiologi ini turut menjejaskan kesihatan dan antara punca yang biasa ialah stres di tempat kerja. Malah ada kajian menunjukkan tekanan menjadi penyebab utama penyakit jantung dan kanser serta peningkatan kepada pelbagai masalah kesihatan terutama berkaitan perut.

Ramai tidak tahu saluran gastrousus sememangnya amat sensitif dengan emosi seseorang. Rasa marah, risau, sedih, takut dan bimbang berupaya mencetuskan tindak balas fizikal di dalam usus.

Dalam beberapa kajian terbaru, saintis mendapati keadaan emosi yang negatif boleh membawa kesan buruk kepada sistem gastrousus. Malangnya, kebanyakan emosi negatif dalam kehidupan moden di bandar berpunca daripada tekanan kerja.

Menurut Pengurus Unit Perniagaan Nuvaceuticals, Datin Swanee Teh, persai­ngan sesama rakan sepejabat, beban kerja dan waktu kerja yang panjang antara sebab seseorang itu mengalami tekanan di tempat kerja. Kira-kira 50 peratus populasi dewasa di Malaysia mengalami sekurang-kurangnya satu gangguan gastrousus manakala 16 peratus pula masalah refluks asid.

“Tekanan berlaku apabila keperluan kerja tidak sepadan kebolehan, sumber dan kehendak. Secara tidak langsung ia memberi kesan ke atas psikologi dan fisiologi manusia. Seseorang yang tertekan dengan kerja akan menunjukkan kemurungan berpanjangan.

“Situasi ini bukan saja menjejaskan prestasi kerja tetapi mendatangkan penyakit berbahaya terutama masalah perut, tekanan darah tinggi, jantung dan melemahkan sistem pertahanan badan terhadap penyakit,” katanya pada bengkel bertajuk Tekanan Kerja Membebankan Usus dan Kesan Lebih Buruk Berbanding Sebelumnya.

Bengkel yang dihadiri panel jemputan antarabangsa termasuk Pakar Perubatan Hospital Kuala Lumpur, Dr Paras Doshi, Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah Universiti Sunway, Dr Pryidarshini Srinivasan dan Pakar Gastroenterologi & Pengamal Terapi Semula Jadi, Dr Vagif Soultanov membincangkan banyak perkara termasuk kaitan rapat tekanan dengan usus dan perut.

Kaitan tekanan dengan perut

Menurut Dr Soultanov, ramai tidak menyedari mereka pernah mengalami masalah gastrousus yang ditandai oleh gejala pedih hulu hati, gastritis, refluks gastroesofagus (GERD) dan sindrom usus rengsa (IBS).

“Apabila anda mengalami rasa pedih dan terbakar pada bahagian dada, masam dan pahit pada belakang tekak, merasakan asid perut naik ke atas selepas makan, perut kembung, penuh angin dan tidak selesa, simptom ini menunjukkan ia berpunca daripada masalah gastrousus.

“Simptom GERD pula apabila berlaku ketidakselesaan perut, ketidakcernaan, kembung perut, angin dan sakit pada bahagian atas perut. Selain sinus dan asma, GERD adalah salah satu punca utama batuk kronik. Jika refluks naik sehingga ke atas tekak anda, ia dipanggil penyakit Refluks Laringofarinks ( LPRD),” katanya.

Dr Pryidarshini pula menjelaskan, tekanan berlaku apabila individu gagal memberikan tindak balas sewajarnya terhadap ancaman emosi atau fizikal. Secara semula jadi tubuh seseorang bertindak untuk mempertahankan diri apabila diancam oleh persekitaran bagi membolehkannya mengekalkan keseimbangan fizikal dan psikologi.

“Tekanan sememangnya tidak dapat dielakkan, namun apa yang boleh dilakukan ialah membuat persediaan bagi melindungi tubuh dan perut daripada kesan mudarat akibat tekanan kerja,” katanya.

Antara tanda tekanan:

- Kelesuan emosi, fizikal dan mental.

- Letih sepanjang hari.

- Tidak bersemangat bekerja.

- Melihat jam berulang kali.

- Hilang tumpuan.

- Sering tidak hadir di tempat kerja.

“Tekanan bukan saja menyebabkan kelesuan, malah ia mencetuskan kerengsaan di dalam perut yang dipanggil gastritis. Gejala ini merujuk kepada keradangan lapisan perut. Jika tidak ditangani, gastritis boleh merebak menjadi ulser,” kata Dr Priyadarshini.

Bagi memberikan lebih pemahaman kepada peserta bengkel, Dr Doshi memperincikan hubungan psikosomatik antara tekanan dengan saluran gastrousus.

Tekanan akan mengaktifkan tindak balas lawan. Ia menyekat rembesan gastrousus dan mengurangkan aliran darah ke perut yang menjadi punca berlakunya ketidakcernaan pada perut. Tekanan berterusan akan menjejaskan pergerakan saluran gastrousus, mencetuskan keradangan atau meningkatkan kecenderungan terhadap jangkitan.

Sebagai contoh, mereka yang berasa loya sebelum membuat pembentangan, ditemu duga atau persembahan pasti menyedari betapa rapatnya hubungan di antara perut dengan otak. Walaupun bukan semua penyakit gastrousus dikaitkan dengan mainan minda, simptom ini sememangnya boleh wujud apabila elemen psikologi digabungkan bersama faktor fizikal.

“Semua orang tahu otak mempunyai hubungan langsung dengan perut. Ketika makanan dihadamkan, otak dan saluran pencernaan sepanjang 30 kaki ini terus ‘berdialog’ antara satu sama lain. Komunikasi dua hala ini menjelaskan mengapa anda mula berhenti makan apabila kenyang.

“Ini kerana saraf di dalam perut memberitahu otak bahawa perut sudah penuh. Itulah juga sebabnya mengapa perasaan risau untuk menghadiri janji temu doktor pada waktu tengah hari boleh membantutkan selera ketika sarapan,” katanya.

Sistem bersepadu otak-perut

Terang Dr Soultanov pula, hubungan antara otak dengan perut sangat rapat sehinggakan ia seharusnya dilihat sebagai satu sistem bersepadu dan bukannya dua sistem berasingan.

Apabila masalah perut berlaku tanpa diiringi sebarang jangkitan atau sebab fizikal yang ketara, cubaan untuk menyembuhkan­nya tanpa menimbangkan impak tekanan dan emosi adalah umpama cuba meningkatkan prestasi kerja kaki tangan tanpa mengambil kira persekitaran kerja atau perangai pegawai atasan.

Sambil menghuraikan mengenai kesan tekanan terhadap perut dan bagaimana jika dibiarkan tanpa rawatan, jelas Dr Soultanov, penyakit gastrousus berpotensi menjadi kanser.

Menurut kajian, kira-kira 90 peratus kes gastritis dan ulser kronik berlaku disebab­kan jangkitan Helicobacter pylori (H.pylori). Kewujudan bakteria perut meningkatkan risiko kanser perut sebanyak enam kali ganda. Kekerapan jangkitan H.pylori adalah tinggi dan membabitkan sekurang-kurangnya separuh daripada populasi dunia.

Walau apa pun yang diperkatakan mengenai stres, masalah ini tidak seharusnya dipandang remeh dan perlu diatasi segera terutamanya dalam dunia yang semakin mencabar.

Penyelidikan untuk melihat punca tekanan yang di­alami operator pengeluaran di syarikat multinasional di Melaka menunjukkan ramai kini hidup dalam keadaan yang penuh dengan stres kerana perubahan teknologi, sosial dan ketidaksinambungan dalam sektor pekerjaan.

Trend terkini di tempat kerja yang beralih kepada ekonomi perkhidmatan dan teknologi maklumat serta perkembangan drastik dalam peningkatan penggunaan komputer dan pemprosesan data mencetuskan tekanan yang berlebihan dalam organisasi.

Ini ditambah pula dengan masa bekerja semakin panjang dan majikan yang mengabaikan aspek keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Justeru, sewajarnya seseorang itu mengamalkan teknik pengurusan tekanan yang berkesan. Antaranya sentiasa tersenyum apabila bertemu semua orang dan bertenang dalam semua ke­adaan.

“Rileks adalah satu teknik yang memberi latihan pada tubuh untuk berada dalam keadaan tenang. Apabila ini berlaku, keadaan organ terutama perut berada dalam keadaan biasa tanpa pengaliran darah yang deras serta degupan jantung yang kuat,” kata Dr Priyadarshini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 12:45 PM