SYED Mohammed Izhaar memeriksa pakaian yang telah disiapkan.
SYED Mohammed Izhaar memeriksa pakaian yang telah disiapkan.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman


Kuala Lumpur: Balqis Textiles and Manufacturing Sdn Bhd (Balqis Textiles), pengeluar pakaian tempahan khas terkemuka membuat pelaburan kira-kira RM6 juta hingga RM18 juta untuk kerja pembinaan dan menyediakan kelengkapan kilang baru yang dijangka siap sepenuhnya pada awal 2016.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Mohammed Izhaar berkata, pihaknya menyasarkan pengeluaran sejuta helai baju seragam sekolah jenama Adam & Hawa dengan jualan keseluruhan sebanyak RM50 juta menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, syarikat juga memperuntukkan pelaburan sebanyak RM15 juta hingga RM20 juta bagi tujuan pengeluaran baju seragam itu membabitkan kapasiti pengeluaran bulanan melebihi angka 4,000 helai.

“Pengeluaran produk sedang giat dijalankan. Kami berusaha untuk membawa masuk jenama ini buat kali pertamanya di pasaran Malaysia pada September ini bagi meringankan beban keluarga khususnya ibu bapa yang berpendapatan sederhana.

“Kami mengutamakan kualiti kain yang dijamin tidak jarang selaras dengan syariah Islam yang menuntut penganutnya menutup aurat dan tidak memakai pakaian yang boleh menampakkan kulit,” katanya pada taklimat media, di sini, baru-baru ini.

Balqis Textiles komited untuk menjadi sebuah syarikat Bumiputera yang berdaya saing dengan menyediakan produk bermutu tinggi serta berkualiti berpatutan dengan harga rendah yang ditawarkan.

Mengulas rancangan syarikat dalam tempoh tiga tahun, Syed Mohammed berkata, syarikatnya bercadang membuka satu pusat sehenti untuk keperluan pelajar sekolah bagi memudahkan pergerakan pelanggan mencari barangan diperlukan.

“Antara keperluan yang bakal dijual termasuk peralatan alat tulis, beg sekolah, baju sukan dan sebagainya. Kami juga merancang untuk menjahit dan menjual pakaian seragam seperti Kadet Polis, Kadet Bomba, Puteri Islam, Pandu Puteri, Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM),” katanya.

Selain itu, Balqis Textiles juga berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan tempahan khas bagi segmen baju korporat membabitkan sektor swasta dan kerajaan seiring dengan langkah perluasan perniagaan.

Sementara itu, syarikatnya kini sedang bekerjasama dengan sebuah sekolah di Eropah untuk membekalkan semua jenis peralatan persekolahan yang diperlukan menggunakan tekstil yang bersesuaian mengikut cuaca pelanggan di sana.

Sehingga kini, beliau mempunyai hampir 200 kakitangan mahir dengan bantuan lebih kurang 500 mesin jahit industri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 7:02 AM