KONFLIK berlaku kerana Wak mahu mendapatkan semula kerongsang neneknya yang digadai kepada Tauke Wong.
KONFLIK berlaku kerana Wak mahu mendapatkan semula kerongsang neneknya yang digadai kepada Tauke Wong.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kandungan cerita teater muzikal Baik Pu­nya Cilok (BPC) kekal terpelihara sebagaimana naskhah filem ini yang menemui penonton 10 tahun lalu. Ia juga mengembalikan nostalgia terhadap lakonan Datuk AC Mizal, Awie, Hans dan Afdlin Shauki yang pernah menggeletek hati penonton menerusi filem ini.

Tempoh tiga jam yang dihabiskan di Panggung Sari, Istana Budaya seakan-akan tidak terasa dek keasyikan mengikuti penceritaan BPC dari awal sehingga babak akhir teater arahan Afdlin ini.

Diikutkan rata-rata peminat sudah tahu jalan cerita pementasan terbitan Tall Order Productions Sdn Bhd yang berlangsung sehingga 3 Mei depan. Namun, mereka tetap turun padang dek kerana mahu menyaksikan telatah mencuit hati empat sahabat ini.

Apatah lagi, biarpun sudah 10 tahun berlalu, populariti mereka tidak pernah pudar terutama AC Mizal yang semakin memuncak sebagai pengacara Maharaja Lawak Mega.

Turut ditampilkan dalam teater ini ialah Vanidah Imrah, Dira Abu Zahar dan Chelsia Ng manakala Hafizuddin Fazil turut berlakon membawakan watak Leman menggantikan tempat Allahyarham Harun Salim Bachik.

Tidak perlu diperincikan lagi jalan ceritanya kerana BPC berkisarkan kisah empat sahabat, Aben (Afdlin), Bob (Awie), Jerry (Hans) dan Wak (AC Mizal) yang berpakat untuk merompak Tauke Wong (Douglas Lim), seorang tauke kedai pajak untuk mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak yang dipajakkan ketika Wak mahu mengahwini Nazatul (Dira).

Menyedari nilai keronsang itu begitu tinggi, Tauke Wong tidak mahu menjualkan kembali kerongsang itu lalu menaikkan harga bunganya berganda. Wak pula tidak mampu membayarnya.

Dalam keadaan yang terdesak inilah mereka merancang untuk merompak Tauke Wong hanya kerana untuk mendapatkan kembali kerongsang itu. Perancangan rapi diatur untuk misi ini. Leman pula mendesak agar mereka mengajar Tauke Wong dengan merompak apa sahaja barang yang ada di kedai pajak itu.

Bagaimanapun, sahabat yang lain tidak bersetuju dengan idea Leman kerana mereka sebenarnya bukanlah pencuri dan jauh di sudut hati mereka sebetulnya takut dengan akibat yang bakal menimpa.

Leman menarik diri pada saat akhir, namun rancangan tetap diteruskan. Selepas melakukan beberapa siri latihan, perbincangan dan strategi, hari yang ditunggu-tunggu tiba bagi membuktikan kejantanan mereka.

Tanpa diduga, sesuatu menanti mereka di kedai Tauke Wong. Paling mengejutkan, kedai ini sudah dirompak terlebih dulu oleh orang lain! Lebih malang lagi mereka berempat yang terpalit lumpurnya.

Mereka ditahan polis ketika di kedai Tauke Wong kerana cubaan merompak. Hanya Jerry yang terlepas kerana berada dalam kereta yang bakal mereka gunakan untuk melarikan diri.

Ini membuatkan ada dalam kalangan mereka mula mencurigai Jerry. Apatah lagi, Jerry mempunyai beban hutang akibat suka berjudi. Namun begitu, Jerry jugalah harapan kawan-kawannya untuk membuktikan yang mereka tidak bersalah dan seterusnya mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak.

Segala-galanya, daripada situasi dan jenaka yang dipamerkan oleh semua pelakon sememangnya mantap dan mencuit hati. Empat pelakon ini bukanlah calang-calang pelakon kerana bahasa tubuh yang ditunjukkan sudah mampu membuatkan penonton ketawa.

Idea kreatif Afdlin meletakkan pemain perkusi, Kamarul Bahrin sebagai pencerita juga menarik kerana mampu mengisi ruang kosong sebelum pertukaran babak, selain membantu mengembalikan ingatan penonton terhadap babak seterusnya yang akan berlaku.

Ditemui selepas persembahan, Hans mengakui gembira kerana perancangan yang diatur berjalan dengan lancar.

“Perbincangan memang dah lama dibuat untuk bawa filem ini ke pentas teater. Kami nak hasilkan satu hiburan keluarga. Bagaimanapun, saya tak sangka ia akhirnya jadi kenyataan selepas 10 tahun. Tak dinafikan susah juga mulanya, tapi dengan kesungguhan yang ditunjukkan ia berjaya juga.

“Sebenarnya tahun ini kali pertama pementasan Tall Order tak menerima sebarang tajaan daripada mana-mana pihak. Malah saya pernah terfikir sama ada nak teruskan atau tidak.

“Bagaimanapun kami tetap profesional, berlakon macam biasa depan penonton tanpa tunjukkan masalah yang kami hadapi,” katanya.

Hans juga berbesar hati kerana ada teman artis seperti Lisa Surihani, Neelofa, Liyana Jasmay dan ramai lagi sanggup mempromosikan BPC di laman sosial mereka sebagai tanda sokongan.

Afdlin pula mengakui hanya menyedari pementasan teater ini terjadi pada ulang tahun ke-10 Baik Punya Cilok dan menganggap ia hanya kebetulan.

“Alhamdulillah, ia umpama tahun yang baik untuk menerbitkan teater ini. Dari sudut lakonan, kami masing-masing ada karakter tersendiri dan tak dinafikan akan ada ‘adlib’ tapi yang penting cerita sebenar jangan lari.

“Kami pun sering berbincang sesama sendiri apa yang perlu dibuat. Kami ada keserasian antara satu sama lain. Diikutkan memang susah apabila ramai yang nak buat lawak atas satu pentas tapi persefahaman itulah yang perlu.

“Apabila ada antara kami sedang berlawak, kami fokus dan bagi ruang kepadanya,” katanya yang mengharapkan sokongan semua pihak untuk menonton teater ini.

Sementara itu, Hafizuddin menganggap pemilihannya membawakan watak Leman sebagai satu cabaran besar.

“Saya sendiri pernah menonton filem BPC dan tahu pembawakan karakter Allahyarham Harun. Apabila ditawarkan, saya tanya kembali pada Afdlin sama ada kena bawa karakter dengan cara sendiri atau sama seperti Allahyarham.

“Akhirnya saya buat karakter sendiri dan jika sama ia mungkin berlaku secara kebetulan dan tanpa disengajakan,” katanya.

Tiket untuk menonton Baik Punya Cilok berharga RM55, RM85, RM110, RM140, RM160 dan RM190 boleh didapati menerusi www.ticket2u.biz atau boleh hubungi Istana Budaya di talian 03-42532241.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:02 AM