DEMAM malaria boleh menyebabkan maut.
DEMAM malaria boleh menyebabkan maut.
Oleh Zaitie Satibi


Melabur Untuk Masa Depan, Tewaskan Malaria’ adalah tema yang dipilih untuk sambutan Hari Malaria Sedunia tahun ini yang dirai pada setiap 25 April. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menetapkan strategi baru yang bermatlamat mengurangkan kes malaria dan kematian sehingga 90 peratus menjelang 2030.

Empat negara disahkan bebas daripada malaria sejak 10 tahun lalu dan dalam strategi ditetapkan kali ini, pertubuhan berkenaan berharap dapat menyingkirkan penyakit terbabit daripada 35 negara lain dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Ini kerana, walaupun usaha besar-besaran dilakukan untuk menentang malaria beberapa tahun kebelaka­ngan ini, penyakit itu masih memberi impak mengecewakan kepada kesihatan manusia dan kehidupan seluruh dunia, terutama di Afrika, apabila ia membunuh hampir setengah juta kanak-kanak bawah usia lima tahun setiap tahun.

Peralatan berkesan untuk mencegah dan merawat malaria sememangnya sudah dicipta, namun lebih banyak dana diperlukan untuk menampung mereka yang tidak berkemampuan di negara berpendapatan rendah, selain kos diperlukan untuk menentang kerintangan ubatan dan racun perosak serangga.

Berdasarkan laporan malaria yang dikeluarkan Disember tahun lalu, dianggarkan 198 juta kes malaria membabitkan 584,000 kematian dikesan pada 2013. Kebanyakan kematian membabitkan kanak-kanak di Afrika.

Bagaimanapun, secara global, kadar kematian akibat malaria juga menurun kepada 47 peratus sejak 2000. Malaria disebabkan oleh parasit Plasmodium dan penyakit ini disebarkan kepada manusia menerusi gigitan nyamuk tiruk atau Anopheles yang dijangkiti parasit terbabit yang menggigit pada waktu subuh dan senja.

Empat spesies parasit me­nyebabkan malaria kepada manusia iaitu Plasmodium falciparum (paling berbahaya), Plasmodium vivax, Plasmodium malariae dan Plasmodium ovale. Namun, beberapa tahun kebelaka­ngan ini ditemui kes malaria disebabkan oleh Plasmodium knowlesi iaitu spesies parasit yang menyebabkan malaria pada monyet di hutan tertentu Asia Tenggara.

Malaria adalah penyakit demam akut. Kalangan mereka yang tidak ada imunisasi terhadap malaria, gejalanya akan muncul dalam tempoh tujuh hari atau lebih dan biasanya 10 hingga 15 hari selepas digigit nyamuk tiruk.

Gejala pertama adalah demam, sakit kepala, menggigil, berpeluh dan muntah-muntah.

Jika tidak dirawat dalam tempoh 24 jam, malaria disebabkan parasit Plasmodium falciparum boleh menjadi teruk dan menyebabkan kematian. Gejala lain seperti keletihan, sakit otot, anaemia, jaundis, sawan dan koma.

Komplikasi akibat malaria pula seperti kegagalan fungsi hati dan buah pinggang, kemusnahan sel darah merah (hemolytic anemia), jangkitan kuman di lapisan otak (meningitis) dan limpa pecah (rupture of spleen) yang mengakibatkan pendarahan teruk.

Parasit malaria apabila masuk ke tubuh manusia akan bergerak melalui salur darah dan terus ke hati. Dalam organ itu, parasit menjadi matang dan masuk semula ke sistem darah dan membiak. Dalam tempoh 48 hingga 72 jam selepas jangkitan, sel darah merah pecah dan mengeluarkan lebih banyak parasit dan lebih banyak sel darah merah dijangkiti.

Malaria menyebabkan anaemia akibat kemusnahan sel darah merah dan ini me­nyebabkan bilangan hemoglobin yang dilepaskan ke dalam sistem peredaran darah berlebihan selepas sel darah pecah.

Gejala utama biasanya timbul seawal lapan hari atau selewat-lewatnya setahun kemudian. Penyakit ini boleh dipindahkan secara semula jadi ketika anak dalam kandungan dan melalui pemindahan darah.

Kumpulan yang berisiko dijangkiti malaria adalah kanak-kanak di kawasan yang ada kes malaria dan belum disuntik imunisasi, wanita hamil yang tiada imunisasi kerana malaria boleh me­nyebabkan keguguran dan kematian janin, pesakit HIV dan AIDS, pengembara dari kawasan wabak yang kekurangan imunisasi dan imigran dari kawasan wabak.

Diagnosis dan rawatan awal mampu mengurangkan gejala penyakit dan mencegah kematian, termasuk mengurangkan penularan wabak. Rawatan terbaik, khususnya untuk malaria dari parasit Plasmodium falciparum, adalah kombinasi terapi berasaskan artemisinin (ACT).

WHO turut mengesyorkan semua kes disyaki malaria mesti disahkan menggunakan penguji diagnostik berasaskan parasit, sama ada mikroskopi atau ujian diagnostik segera sebelum memulakan rawatan.

Keputusan pengesahan jenis parasit boleh diperoleh dalam tempoh 15 minit. Kawalan vektor adalah jalan utama bagi mengurangkan penularan malaria di peringkat komuniti.

Langkah pencegahan lebih bertumpu kepada cara memusnahkan nyamuk dengan mencampurkan racun serangga di tempat pembiakannya seperti paya atau kawasan air bertakung.

Bagi individu, perlindungan peribadi daripada digigit nyamuk adalah pertahanan utama untuk pencegahan malaria. Namun, individu yang diberi ubat antimalaria masih boleh dijangkiti malaria. Memakai baju dan seluar panjang, pasangkan jaring ditingkap dan guna krim pencegah untuk mengelakkan gigitan nyamuk. Ubat chloroquine adalah ubat pilihan untuk mencegah malaria.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:05 AM