Manchester: Manchester City akan terus menikmati saingan selesa di laman sendiri dengan kemenangan ke atas finalis Piala FA, Aston Villa awal pagi esok akan membantu mereka menghampiri sasaran penamat empat teratas Liga Perdana.

Ketika City 12 mata di belakang pendahulu Chelsea, fokus mereka kini memastikan layak ke Liga Juara-Juara musim depan dengan menyekat cabaran pasukan tangga kelima Liverpool dan pasukan tangga keenam Tottenham, yang akan ditemui mereka hujung minggu depan.

Juara bertahan itu bergelut memperagakan persembahan seperti musim lalu yang menyaksikan City menjuarai Liga Perdana kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Namun, di sebalik semua itu, anak buah Manuel Pellegrini kalah hanya dua kali dalam liga di Eastlands musim ini dan menang empat perlawanan terakhir di laman sendiri, menjaringkan 12 gol serta tidak dibolosi.

Pertahanan City, Bacary Sagna berkata, anak buah Pellegrini kekal bersatu dalam usaha meraih tempat ke Liga Juara-Juara.

“Saya fikir kami mencicirkan banyak mata tahun ini,” kata Sagna, pemain kebangsaan Perancis.

“Tapi, dalam sesetengah perlawanan kami tidak bernasib baik dan walaupun banyak menguasai bola, kami gagal menjaringkan gol kerana tidak mudah bermain apabila pasukan lawan asyik bertahan.

“Kami cuba melakukan sedaya upaya untuk kembali melakar kemenangan dan menamatkan musim dengan baik.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:12 AM