CHENG (tengah) bersama Timbalan Pengarah Urusannya, Hiroyuki Muto (dua dari kiri) dan Pengarah Khidmat dan Pemasaran Pelanggan,  Takaaki Uehara pada pelancaran Lumix GF7, semalam.
CHENG (tengah) bersama Timbalan Pengarah Urusannya, Hiroyuki Muto (dua dari kiri) dan Pengarah Khidmat dan Pemasaran Pelanggan, Takaaki Uehara pada pelancaran Lumix GF7, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic) mengekalkan unjuran jualan sama seperti tahun lalu iaitu RM8 juta bagi segmen kamera tanpa cermin tahun ini berikutan permintaan dan jualan kamera yang dijangka terus menurun sehingga akhir 2015.

Pengarah Urusannya, Cheng Chee Chung berkata, beliau optimis ia mampu dicapai melalui pengenalan kamera terbaru dalam segmen kamera tanpa cermin Panasonic iaitu Lumix GF7 yang kini dilihat semakin popular dalam kalangan pengguna peringkat global.

“Situasi pasaran menunjukkan kamera tanpa cermin hanya mencatatkan penurunan permintaan 10 peratus berbanding 30 peratus bagi semua jenis kamera. Oleh itu, kami ingin menumpukan kepada segmen ini kerana masih ada permintaan daripada pengguna,” katanya pada majlis pelancaran Lumix GF7 di sini, semalam.

Kamera baru digital dengan lensa tunggal tanpa cermin atau lebih dikenali DMC-GF7 ini memiliki tahap keupayaan tinggi untuk merakamkan gambar selfie melalui monitor boleh ubah 180 darjah dan fungsi kreatif lain termasuk mod Self Shot, Face Shutter, Buddy Shutter dan mod kecantikan.

Beliau berkata, GF7 membolehkan pengguna merakam imej berkualiti tinggi kerana ia memiliki resolusi tinggi dan penghasilan semula warna, selain lengkap dengan sambungan WiFi melalui telefon pintar atau tablet.

“Kamera ini bukan saja boleh digunakan profesional, malah sesuai untuk pengguna kasual melakukan aktiviti termasuk mengambil video dan merakamkan gambar statik,” katanya.

Ketika mengulas impak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap perniagaan kameranya, Cheng berkata, Panasonic tidak mengalami impak signifikan memandangkan kamera tidak dikenakan cukai jualan namun mengalami peningkatan harga enam peratus.

“Kami menyedari pengguna lebih berhati-hati dengan perbelanjaan disebabkan pelaksanaan GST. Oleh itu, kami memperkenalkan model terbaru ini yang ditawarkan pada harga berpatutan berbanding model lain dalam segmen kamera tanpa cermin Panasonic,” katanya.

Kamera GF7 kini boleh didapati di stor berhampiran bermula April ini pada harga RM2,099 dan ia didatangkan dengan pelbagai tawaran hadiah percuma menarik untuk kemudahan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 12:54 PM