Ardyhansah Amat

Kinabatangan: Seorang peniaga cedera terkena tembakan di dada kiri dalam kejadian rompakan berkumpulan di Ladang Malangking, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, mangsa berusia 50 tahun, yang menaiki pacuan empat roda ditahan empat lelaki di sebuah jambatan di Mop C ladang berkenaan, kononnya mahu menumpang ke rumah kongsi berhampiran.

Mangsa yang tidak mengesyaki sebarang niat buruk empat lelaki itu memberhentikan kenderaan bagi membolehkan suspek naik di bahagian belakang kenderaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Salehuddin Abdul Rahman berkata, suspek kemudiannya bertindak mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum menjerit 'duit' dan mengambil beg mangsa yang diletakkan di tempat duduk sebelah pemandu.

"Suspek juga melepaskan tembakan dan terkena dada kiri mangsa sebelum mangsa memecut kenderaan sejauh 3 kilometer menuju ke rumah pekerja ladang berhampiran.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Kinabatangan dan dilaporkan stabil.

"Dua utas jam dan sebuah telefon bimbit yang diletakkan dalam beg mangsa dilarikan suspek,ā€¯katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:52 PM