Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lelaki yang menyamar sebagai datuk ditahan di pangsapuri di Jalan Ampang, di sini bersama teman wanitanya, 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, sepasukan anggota dan pegawainya ke lokasi terbabit untuk membuat pemeriksaan berkaitan kejadian pertengkaran antara suspek dengan pengurusan kediamannya.

Menurutnya, hasil daripada pemeriksaan dijalankan di rumah dan bilik suspek, polis turut menemui tiga pucuk pistol bersama satu kelopak peluru, gari, satu paket lutsinar berisi 119 bebola besi dan kad pekerja Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kami percaya suspek yang berusia 40-an aktif menyamar sabagai datuk berdasarkan penemuan pelbagai barangan selain turut memiliki pistol.

"Suspek dan teman wanitanya kini direman selama lima hari bagi meneruskan siasatan terutamanya bagi mengesan tujuan suspek menyamar sebagai datuk," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 7:01 PM