SS akui lakonan pelakon wanita ini sememangnya bagus. Kalau tidak, takkanlah boleh menang anugerah.

Kejayaan ini juga membuatkan namanya mula jadi sebutan ramai peminat, sekali gus menjadi rebutan penerbit bagi membintangi drama dan filem terbitan mereka.

Bagaimanapun, itu saja tidak cukup sekiranya aspek disiplin tidak dijaga sehingga membuatkan ada pihak terasa hati dengan pelakon ini.

Dia seolah-olah dilanda sindrom lupa diri apabila mungkir janji dengan seorang penerbit.

SS difahamkan, dia sudah berjanji secara lisan untuk berlakon dalam telefilem arahan seorang pengarah yang semakin mencipta nama.

Memandangkan jadual lakonannya ketat, produk­si me­ngikut segala kehendaknya yang hanya boleh menghadirkan diri pada hari-hari tertentu. Yang penting ialah kesudiannya terbabit dengan telefilem ini.

Malangnya apabila tiba hari yang ditetapkan, dia langsung tidak menampakkan batang hidung dan terus diam tanpa khabar berita. Sudah tentulah ini membuatkan penerbit dan produksi menggelabah kerana segala-galanya sudah diatur.

Bayangkan bukan sedikit kerugian yang ditanggung kerana masalah ini. Mujurlah, mereka ada pelan B mendapat­kan pelakon pengganti. Sekurang-kurangnya penggambaran tetap berjalan tanpa masalah.

SS pun tidak faham dengan sikap segelintir pelakon yang mengabaikan aspek disiplin ini. Kalau dilihat gaya, lagaknya macam profesional sangat, tetapi rupa-rupanya‚ propa‘ saja lebih.

SS: Akan pastikan sampai awal ke lokasi tugasan agar orang tidak tertunggu-tunggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 10:23 AM