RAZMAN (kiri) yakin dengan kebolehan rakan sepasukan.
RAZMAN (kiri) yakin dengan kebolehan rakan sepasukan.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Prestasi kurang konsisten dipersembahkan Kelantan tidak mengganggu tumpuan utama Pahang memburu kemenangan apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam ini.

Kapten Tok Gajah Mohd Razman Roslan berkata, skuad itu tidak terlalu mengambil kira prestasi semasa Kelantan sebaliknya mengharapkan Pahang tidak mempersia-siakan segala peluang.

Katanya, kejayaan membenam Pulau Pinang pada suku akhir Piala FA, Selasa lalu diharap membantu mengekalkan prestasi terbaik berdepan Kelantan.

“Ini kerana Pahang hanya berbeza satu mata dengan Kelantan dan sudah pasti kemenangan menjadi keutamaan biarpun beraksi di gelanggang lawan yang dilihat perlu mempamerkan corak permainan lebih agresif.

“Sebenarnya, kami sedar bukan senang menewaskan Kelantan di laman mereka, tetapi tiada yang mustahil jika segala percaturan menjadi untuk mengutip tiga mata.

“Pada masa sama, kemenangan ini juga penting untuk meneruskan momentum selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut, menewaskan Lions XII 3-2 dan Pulau Pinang 2-0,” katanya.

Sementara itu pengurus pasukan Datuk Che Nasir Salleh mahu pemain mengekalkan aksi konsisten dengan tidak terlepas mata biarpun Kelantan bakal memberi tentangan sengit.

“Pemain diminta tidak terikut-ikut rentak permainan lawan, sebaliknya beraksi mengikut percaturan jurulatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:34 AM