KEMBALINYA  Rimba Bara.
KEMBALINYA Rimba Bara.
BABAK membabitkan Jijoe (tengah) dan Slash Haji Tapah.
BABAK membabitkan Jijoe (tengah) dan Slash Haji Tapah.
MAMAT (kanan) memberi arahan kepada barisan pelakon dan kru.
MAMAT (kanan) memberi arahan kepada barisan pelakon dan kru.
Oleh Ramlah Zainal


Filem rock garapan pengarah terkenal Mamat Khalid pernah mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan penggemar filem tempatan. Justeru, ramai pengikut setia filem ini yang tidak sabar menantikan sekuel terkhirnya yang bakal menjengah pawagam pada awal tahun depan.

Menggunakan judul Rock Bro!, filem ini diterbitkan Grand Brilliance Sdn Bhd dan Enjit Semut Sdn Bhd.

Selaku pengarahnya, Mamat juga menjanjikan sekuel ketiga ini yang terbaik dan tidak mengecewakan peminat setia filem rock di luar sana.

“Selain menampilkan kelainan dari segi jalan cerita dan perubahan beberapa watak, filem ini diharap dapat mengubat kerinduan peminat setia filem rock di luar sana.

“Jika filem rock menceritakan permulaan sebuah kumpulan muzik dalam mengejar cita-cita menjadi kumpulan rock ternama, sekuel kedua, Rock Ooo pula menceritakan zaman transisi dan kejayaan kumpulan rock untuk meneruskan perjuangan muzik mereka ketika itu.

“Manakala, francais terakhir, Rock Bro pula memaparkan zaman kejatuhan irama rock dalam berdepan pelbagai kesukaran dengan kemasukan genre muzik baru dalam industri muzik tempatan,” katanya.

Mamat berkata, pihaknya juga membuat perubahan besar dari segi watak dengan menampilkan watak baru dalam filem berkenaan.

“Antaranya, penampilan watak baru seperti Ella dan kakaknya, Jojie yang dilakonkan penyanyi Kaka Azraf yang juga anak saudara mereka sendiri serta pelawak popular, Jihan Muse.

“Pihak kami turut menggugurkan beberapa watak utama dalam filem Rock sebelum ini iaitu Amy Mat Piah (Que Haidar), tetapi tidak menjejaskan jalan ceritanya,” katanya.

Filem ini diterajui Khir Rahman (Jijoe), Hasnul Rahmat (Zack), Pekin Ibrahim (Slash Haji Tapah), Azmi Black (Black), Sofi Jikan (Zul Kapan/ACGMC), Amirul Affendi (Dio), Jep Sepahtu (Cik Not).

Mengulas lanjut mengenai filem itu, kata Mamat, setakat ini, proses penggambaran sudah siap 80 peratus dan membabitkan lokasi sekitar Ipoh dan Taiping, Perak.

“Alhamdulillah, tahap kesihatan saya juga baik dan berjaya menyiapkan kerja penggambaran seperti dijadualkan. Kini, saya lebih mengutamakan kesihatan berbanding sebelum ini.

“Jika dulu, proses penggambaran berlarutan sehingga jam 2 hingga 3 pagi, tapi kali ini saya pastikan kerja penggambaran berakhir pada jam 12 tengah malam untuk pelakon

dan kru berehat sebelum menyambung penggambaran pada keesokan harinya.

“Antara babak paling mencabar ialah untuk mengumpulkan semua artis legenda tanah air seperti Datuk Hattan, Man Kidal, Black Wings dan Yan Lefthanded dalam salah satu babak dalam filem ini. Inilah masanya kalau nak tengok Hattan berambut panjang dalam filem ini,” katanya.

Sinopsis

Filem Rock Bro secara menceritakan mengenai zaman kejatuhan era rock tempatan. Kemasukan aliran muzik baru seperti rap dan hip hop pada awal 1990-an sedikit sebanyak memberi impak kepada irama rock.

Disebabkan situasi itu, kumpulan rock Rimba Bara yang sudah lama tidak membuat persembahan terpaksa menyara hidup dengan membuat kerja sambilan di samping melakukan persembahan di tapak ekspo tani dan mendapat bayaran dalam bentuk sayur-sayuran.

Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan, Rimba Bara gigih meneruskan perjuangan dalam industri muzik yang penuh dengan permainan politik.

Pada masa sama, Rimba Bara semakin menuju kehancuran kerana Jijoe jatuh cinta pandang pertama dengan ratu rock Ella (Kaka Azraff) ketika terserempak di studio rakaman, King’s Studio.

Disebabkan perasaan cinta yang terlalu mendalam kepada Ella, Jijoe juga mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan Rimba Bara dan menjadi kontraktor kelas F.

Berikutan itu, Rimba Bara mulai goyah dan terjadi pelbagai konflik antara setiap ahli kumpulan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:16 AM