SAWRIANTO (kanan) dan Norhayati bergambar kenangan.
SAWRIANTO (kanan) dan Norhayati bergambar kenangan.

Sarangani: Atlet luncur udara negara Sawrianto Sawin, muncul juara Piala Dunia Ketepatan Paragliding 2015 (PGAWC) Siri Pertama yang berlangsung di Safi Ranch, Sarangani, Filipina baru-baru ini.

Sawrianto mengumpul 49 mata bagi meraih gelaran juara manakala naib juara Yoshiki Oka dari Jepun mengumpul 53 mata, diikuti Nicky Alfiano dari Indonesia dengan 81 mata.

Tidak ketinggalan, atlet wanita negara, Norhayati Jamaludin menempah nama dengan memenangi tempat ketiga kategori wanita.

Seramai 51 peserta dari 12 negara iaitu Malaysia, Jepun, China, Sepanyol, Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Pakistan, Singapura, Taiwan dan Kanada mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Kejohanan itu memerlukan peserta untuk mendarat di dalam bulatan setelah berlepas dari bukit di Safi Ranch Paragliding Site pada ketinggian 188 meter.

PGAWC Siri Kedua pula bakal diadakan pada 1 hingga 3 Mei di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Kejohanan siri kedua ini dianjurkan Inspiration Aviation Club (IAC) yang disokong Persekutuan Aeronatik Antarabangsa (FAI), Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), iM4U dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kejohanan ketiga dan seterusnya akan diadakan di Serbia, Jerman, China dan berakhir di Bulgaria pada November.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 9:52 AM