Oleh Nor Faizah Mohamed

Lazimnya kita lebih banyak membicarakan senaman untuk golongan muda dan sering mengabaikan keperluan senaman kepada kumpulan warga emas.

Senaman atau aktiviti fizikal ini membantu memberikan kesan mendalam kepada gaya hidup dan kesejahteraan golongan warga emas secara keseluruhan.

Memastikan diri kekal aktif boleh membantu golongan terbabit mengurangkan rasa sakit atau kekejangan, meningkatkan tahap tenaga dan kekuatan diri mereka.

Golongan warga emas yang bersenam secara konsisten juga lebih mudah menguruskan diri kerana bebas bergerak dan lebih fokus dengan apa yang mereka lakukan.

Menurut pelatih fizikal Universiti Malaya Andre Muller, empat jenis latihan campuran boleh diamalkan oleh golongan terbabit tanpa memberi kesan negatif atau membebankan mereka.

"Apabila usia makin meningkat, tahap daya ketahanan diri akan merosot secara mendadak. Justeru, golongan warga emas ini perlukan latihan membabitkan daya tahan, kekuatan otot, regangan dan keseimbangan.

"Rutin atau gerakan latihan pula tidaklah sukar dan biasanya tidak memerlukan peralatan yang rumit atau mahal.

"Latihan daya tahan atau aerobik antara aktiviti yang dapat meningkatkan pernafasan dan denyutan jantung. Berjalan, joging, menari, berenang dan berbasikal juga banyak membantu," katanya.

Latihan kekuatan otot seperti mengangkat bebanan atau menggunakan peralatan rintangan bertujuan membantu membina kekuatan.

Senaman keseimbangan pula membantu mencegah jatuh yang kerap berlaku dalam kalangan warga emas sementara senaman fleksibiliti membantu meregangkan otot.

Jelas Muller, apa jua senaman yang dilakukan perlulah mengikut keperluan serta kemampuan tubuh.

"Anda sepatutnya mendengar atau beri perhatian kepada isyarat tubuh ketika melakukan senaman. Berhenti apabila tubuh tidak lagi berupaya meneruskan walaupun masih berbaki beberapa pusingan.

"Segera berhenti apabila rasa kehabisan nafas atau pening. Jangan terus berbaring atau duduk tapi berlegar di sekitar kawasan.

"Jangan bimbang dengan kesan pada tubuh pada keesokan harinya. Biasanya sehari selepas bersenam iaitu ketika bangun tidur, tubuh berasa tidak selesa dan sakit di beberapa bahagian. Itu sebenarnya tanda bahawa otot memberikan reaksi selepas lama tidak digunakan," ujarnya.

Berikut Muller menunjukkan senaman ringkas regangan dan kekuatan untuk otot di bahagian bahu, perut, pinggul dan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 4:43 AM