FOTO ihsan Bomba
FOTO ihsan Bomba
Oleh Asmah Rusman


Petaling Jaya: Sepasang suami isteri dan jirannya yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kapar maut selepas kereta Proton Wira yang dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 14.4 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pagi tadi.

Kemalangan 6.50 pagi dari Subang menghala ke Kota Damansara itu, pemandu kereta, Tan Meng Hua, 65, dan isteri Lion Ah Lowo, 58, serta jiran mereka Tan Aun, 63, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Trafik Daerah Petaling Jaya, Deputi Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira berkenaan hilang kawalan selepas melanggar kon yang diletakkan bagi kerja-kerja pembinaan pembahagi jalan.

“Kereta itu kemudiannya terbabas masuk di laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Viva lalu merempuh lori sampah yang berada di belakang.

“Lori sampah dikatakan menyeret kereta berkenaan beberapa meter dan menyebabkan penumpang belakang tercampak dari kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, identiti pemandu Perodua Viva belum dapat dikenalpasti dan disahkan mengalami kecederaan parah serta dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 2:13 PM