AIDA (kanan) bersama Eddie dan Mila ketika di studio rakaman.
AIDA (kanan) bersama Eddie dan Mila ketika di studio rakaman.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Lagu ciptaannya sering dikritik ramai pihak kerana berunsur mendayu-dayu. Lebih teruk lagi komposer Eddie Hamid juga disindir dengan gelaran komposer lagu leleh dan hasil karyanya tidak mampu ke mana.

Namun, hakikatnya karya beliau jarang mengecewakan dan ternyata mampu memberi impak besar seperti lagu Rindu Serindu Rindunya nyanyian kumpulan Spoon.

Lagu berusia lebih 10 tahun itu menjadi pilihan penyanyi popular Indonesia, Firman yang merakamkannya semula. Sudah rezekinya, lagu Eddie diintai lagi syarikat rakaman luar.

Terbaru, lagu ciptaannya dan lirik nukilan penerbit drama terkenal A Aida berjudul Muah! berjaya menarik perhatian penerbit di Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan dan China yang menukar liriknya dalam bahasa mereka.

Lagu nyanyian asal Suzanne Brautigam ini turut dijadikan lagu tema sebuah drama popular di Taiwan berjudul Local Hero sejak Disember lalu.

Kedua-duanya ketika ditemui melahirkan perasaan gembira kerana bukan mudah lagu tempatan berjaya menerokai pasaran luar negara.

“Kami sendiri pun tak sangka perkara ini akan berlaku. Malah, kami terkejut apabila wakil syarikat rakaman Rock Records menghubungi kami bagi meminta persetujuan untuk proses ini.

“Sudah tentunya kami bersetuju kerana ia satu langkah untuk lagu kita masuk pasaran luar negara. Ia satu penghormatan besar buat karyawan seni tempatan. Tambahan pula, drama ini disiarkan pada waktu perdana Taiwan kerana popularitinya yang sangat hebat.

“Ini menyuntik semangat kami untuk terus bekerjasama menghasilkan pelbagai lagu menarik. Kami juga sudah ada perancangan untuk aktif menghasilkan lagu sepanjang tahun ini,” kata mereka.

Menurut Eddie, dari Januari sehingga kini, dia sudah mencipta tujuh lagu untuk diberikan kepada artis yang berminat menyanyikannya serta digunakan sebagai lagu tema drama terbitan A Aida Production.

“Saya masih aktif berkarya dan prinsip yang digunakan ialah hasilkan lagu yang orang mudah terima. Saya hasilkan lagu yang akan jadi malar segar dan bukan diminati semusim.

“Contoh terbaik ialah lagu Rindu Serindu Rindunya dan Halimah Jongang yang kekal diminati sampai sekarang. Mungkin ada yang pandang sinis pada Halimah Jongang, tapi lagu ini membawa pulangan royalti tinggi untuk kami berdua sehingga sekarang,” katanya.

Aida pula meletakkan sasaran untuk menghasilkan 50 lagu setahun menerusi gandingan mereka. Dengan keserasian yang ada, dia percaya impian ini mampu direalisasikan.

“Lagu yang sudah siap sekarang ialah Bukan Isteri Sempurna nyanyian Mila Jirin. Lagu ini dijadikan tema drama Bukan Isteri Sempurna yang diadaptasi daripada novel berjudul sama.

“Drama ini akan diakhiri dengan lagu Tiada Lagi Cinta nyanyian Sabhi Saddi. Kami juga hasilkan lagu nyanyian Nubhan berjudul Takut, Farahdhiya (Ku Tak Rela) dan Zamani (Gelora Cinta Ku).

“Lagu nyanyian Farahdhiya dimuatkan dalam drama Aku Tak Rela yang sudah menemui penonton menerusi slot Azalea, manakala lagu lain akan dimuatkan dalam projek drama saya antaranya Puteri Gunung Ledang dan Si Montel,” katanya.

Saling memahami

Keserasian mereka terbukti apabila Eddie mengakui hanya Aida satu-satunya penulis lirik yang boleh menegur hasil karyanya.

“Selalunya kami akan berbalah dalam hal yang berkaitan kerja. Namun kami profesional dan tak ambil hati sesama sendiri. Saya sekarang bertekad akan hasilkan dua hingga tiga lagu sebulan.

“Ini perlu untuk mencapai sasaran kami berdua. Aida juga banyak beri idea dan cuba ubah saya untuk buat lagu yang baik dan tak berirama leleh lagi.

“Dalam masa sama, saya pegang pada pesan arwah Loloq iaitu jangan ubah identiti saya sendiri dan buat lagu yang dapat kekal lama. Saya gembira kerana lagu-lagu saya kini dinyanyikan artis terkenal, sekali gus membawa lembaran baru dalam karier saya,” katanya.

Sementara itu, Aida bersyukur kerana rezekinya sebagai penerbit drama tidak pernah terhenti, sekali gus dapat membantu penyanyi tempatan dikenali dengan penghasilan lagu tema drama terbitannya.

“Syukur jadual produksi saya dah penuh sehingga tahun depan. Kerjasama saya dengan Eddie bermula sejak Halimah Jongang dan kami terus kekal berdua sehingga sekarang.

“Saya lebih suka tulis lirik sendiri kerana nakkan kepuasan. Begitu juga skrip drama saya yang ditulis sendiri kerana sebagai penerbit saya lebih tahu apa yang dikehendaki penonton dan stesen TV.

“Saya boleh siapkan lirik dalam setengah jam, manakala skrip pula boleh siap dua episod dalam satu jam. Saya memang tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kedua-dua bidang ini sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 1:38 PM