Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Pilah: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penuntut Kolej Vokasional (KV) Temerloh, Pahang dijangkiti virus ifluenza A (H3) iaitu virus selsema bermusim yang biasa dan tidak berbahaya.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, hasil siasatan mendapati seramai 137 daripada keseluruhan 531 pelajar KV berkenaan menunjukkan tanda jangkitan influenza yang ringan dan stabil bermula pada 17 September lalu hingga semalam.

Katanya, sehubungan itu mereka hanya mendapatkan rawatan pesakit luar dan tidak dimasukkan ke wad.

Beliau berkata, langkah pencegahan dan kawalan sudah dan sedang dilakukan iaitu melalui pengasingan pelajar yang sihat bagi mengelak penularan virus berkenaan.

"Kementerian menegaskan bahawa pelajar terbabit tidak dikuarantin sebagai mana dilaporkan, malah dibenar menghadiri kelas seperti biasa.

"Mereka juga dibekalkan dengan topeng hidung serta dinasihati berkaitan pendidikan kesihatan iaitu supaya kerap mencuci tangan dengan sabun ketika batuk atau berada di tempat awam serta mengamalkan adab batuk yang baik ," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kolej Kejururawatan Kuala Pilah di sini, hari ini.

Menurut Subramaniam, kejadian berlaku di KV itu juga kes terpencil dan terkawal dengan pemantauan teliti oleh Jabatan Kesihatan Pahang.

"Mereka yang dijangkiti virus ini mengalami simtom seperti batuk, selesema, demam dan sakit tekak.

"Saya yakin semua pelajar terbabit akan sembuh sedikit masa lagi dan orang ramai tidak perlu bimbang (penularan) virus ini yang tidak berbahaya dan lazim terdapat dalam masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 September 2014 @ 2:09 PM