Oleh Ibrahim Isa

Pagoh: Kabinet sudah mengarahkan Suruhanjaya Pengangkutan Darat Awam (SPAD) menangguhkan kenaikan harga tambang berikutan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kabinet bersetuju dengan peningkatan harga tambang kenderaan awam itu namun berpendapat tidak sesuai dilaksanakan ketika ini.

Menurutnya, kerajaan mengakui SPAD mempunyai asas kukuh untuk berbuat demikian namun masanya tidak sesuai.

“Kerajaan sedar ada rayuan daripada pengendali supaya tambang dinaikan berikutan peningkatan kos.

"Bagaimanapun, masanya tidak sesuai ketika ini terutama menjelang pelaksanaan GST tidak lama lagi.

"Ia dikhuatiri membebankan pengguna kenderaan awam terutama penduduk bandar," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-Cawangan dan Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 2:40 PM