Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berharap Saari Zakaria, bapa penyerang utama negara, Faizal dan Fitri tidak terus mengkritik badan induk itu sebaliknya memahami situasi sebenar isu pemberian bonus serta elaun yang dipersoal anaknya sebelum ini.

Tampil memberikan penjelasan, Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad mengaku badan induk itu masih tidak dapat membayar bonus berjumlah RM13,000 kepada setiap pemain termasuk Faizal berikutan belum mendapat suntikan wang daripada pihak penaja.

Namun katanya, MHC sudah membayar insentif bonus RM58,400 sepanjang Faizal bersama skuad negara dan jumlah itu sebenarnya antara yang terbanyak diraih seseorang pemain hoki negara seperti Faizal.

“Malah masa bertemu dengannya baru-baru ini, saya sendiri kemukakan cadangan kalau dia betul-betul perlukan duit sementara kami belum dapat membayar tunggakan bonus kepadanya, dia hanya perlu menghantar satu surat rasmi kepada kami.

“Tapi sampai sekarang, dia belum kemukakan apa-apa surat.

“Saya juga ambil kira pandangannya yang meminta MHC menambah elaun bulanan setiap pemain yang setakat ini menerima RM1,500 daripada MSN (Majlis Sukan Negara). Saya akan bawa perkara itu dalam mesyuarat sebab saya tak boleh buat keputusan sendiri,” katanya.

Jelas Nur Azmi, permintaan Saari supaya perbincangan antaranya dengan MHC dilakukan secara terbuka di depan media tidak perlu dilakukan kerana tegasnya sanggupkah Saari mendengar semua perkara yang membabitkan diri anaknya, Faizal.

“Saya tidak mahu panjangkan segala isu. Tapi saya memang akui kami belum dapat bayar tunggakan bonus dimintanya.

“Saya hormati Saari selaku bapa Faizal serta Fitri yang sudah banyak memberi sumbangan kepada negara.

“Dia boleh berbincang dengan saya pada bila-bila masa, tapi Saari juga perlu memahami situasi kami ketika ini,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Saari mahu pertemuannya dengan MHC diselesaikan di hadapan media bagi membolehkan segala perkara dibincangkan secara telus selepas mendapat pelawaan daripada Setiausaha Agung MHC Datuk Johari Abdul Aziz.

Jelas Saari, Faizal menuntut insentif bonus itu kerana mahu membantu keluarganya yang ditimpa bencana banjir pada Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 7:12 AM