Lupita
Lupita

Los Angeles: Sehelai pakaian bertatahkan mutiara yang dipakai aktres Lupita Nyong’o ketika majlis anugerah Oscar baru-baru ini dilaporkan dicuri.

Baju bernilai AS$150,000 (RM542,145) itu dipakai Lupita ketika dia menyampaikan anugerah untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di majlis berkenaan pada 22 Februari lalu.

Pakaian berkenaan dilaporkan hilang di bilik hotel yang didiami aktres yang popular dengan filem 12 Years A Slave itu.

Jurucakap polis, William Nash berkata, pakaian itu dilaporkan hilang di sebuah bilik di Hotel London West Hollywood kira-kira jam 11.30 malam Rabu lalu.

Pakaian berkenaan dicipta pereka fesyen terkenal, Francisco Costa menggunakan lebih 6,000 mutiara putih Akoya.

Pihak polis sudah melawat hotel berkenaan dan percaya harga yang mahal antara faktor pakaian itu menjadi sasaran pencuri.

“Kami masih belum membuat sebarang tangkapan dan meneliti rakaman kamera keselamatan di hotel itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:10 AM