FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Oleh Maiamalina Mohamed Amin


Bachok: "Kami mandi elok je pada awalnya, tapi tiba-tiba saya rasa seperti kena tarik dengan ombak dan makin lama, makin jauh.

"Saya lambai tangan dan jerit minta tolong sebelum dua abang sepupu datang bantu. Malangnya mereka yang hanyut dan terus hilang," kata Raja Amir Hamzah Mohamed, 11, yang hampir lemas di Pantai Irama, di sini, kira-kira 9.15 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Raja Amir Hamzah hampir lemas ketika mandi di pantai berkenaan sebelum diselamatkan dua sepupunya Mohd Faiz Mat Adam, 19 dan abangnya Mohd Firdaus, 24.

Bagaimanapun, selepas berjaya menolak murid tahun lima itu ke tepi pantai, dua beradik terbabit hanyut dibawa ombak.

Mayat Mohd Faiz dijumpai kira-kira 11.14 pagi dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, manakala abangnya masih hilang.

Bercerita mengenai kejadian itu, Raja Amir Hamzah berkata, mereka ke pantai itu bersama sembilan lagi anggota keluarga dari rumah mereka di Kampung Petani, Sering, di sini.

Katanya, kira-kira 8.10 pagi dia turun ke pantai untuk mandi bersama sepupu yang berusia lapan dan 10 tahun.

"Kami mandi dekat tepi benteng pemecah ombak. Mulanya elok saja, tapi secara tiba-tiba saya rasa badan seperti ditarik ke tengah laut.

"Abang Faiz yang duduk di tepi pantai ketika itu segera bantu untuk tarik saya ke tepi dan abang Firdaus menyusul kemudiannya. Selepas saya ditolak ke tepi, mereka berdua hanyut dan hilang.

"Saya sedih kejadian ini berlaku kerana mereka hanya mahu menyelamatkan saya sahaja," katanya ketika ditemui di Pantai Irama, di sini, tadi.

Mohd Faiz lepasan sekolah, manakala Mohd Firdaus penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang difahamkan bakal menjalani latihan praktikal di sebuah agensi kerajaan di Pengkalan Chepa, 23 Februari ini.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira 9.23 pagi.

"Sepasukan anggota dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu dan Pengkalan Kubor ke tempat kejadian, dengan mangsa pertama berjaya ditemui jam 11.14 pagi.

"Dia ditemui kira-kira 20 meter dari tempat lemas dan operasi menyelamat masih berlangsung untuk mencari mangsa kedua iaitu Mohd Firdaus berusia 24 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 3:58 PM