KEADAAN rumah yang terbakar. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN rumah yang terbakar. FOTO ihsan Bomba
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Ipoh: Seorang warga emas maut dalam kejadian membabitkan tiga buah rumah di Kampung Baru Bukit Merah Pasir Puteh, di sini, pagi tadi.

Pegawai Kanan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Zainasrie Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 4.34 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati kebakaran 90 peratus membabitkan tiga buah rumah satu tingkat.

"Mayat mangsa seorang lelaki Cina berusia 64 tahun ditemui di rumah pertama dengan kesan terbakar sehingga 80 peratus di seluruh anggota badan pada jam 7.25 pagi.

"Mayat mangsa dibawa keluar daripada rumah berkenaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 10:15 AM