Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan agar pemilihan parti MIC diadakan semula sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi parti berkenaan.

Keputusan itu dicapai menerusi pertemuan antara Najib dengan Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dan Timbalannya Datuk Seri S Subramaniam hari ini.

Hadir sama pada pertemuan itu termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional berkata, keputusan itu akan dimaklumkan oleh MIC kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar tindakan sewajarnya boleh diambil untuk melaksanakan pemilihan semula parti MIC.

"Butir-butir pemilihan semula parti akan diumumkan selepas surat daripada ROS diterima oleh parti MIC," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 5:06 PM