Saya menghadapi masalah kerosakan penghidup (starter). Saya menggunakan Proton Perdana transmisi automatik dan meminta bantuan rakan untuk menarik kereta ke bengkel.

Seorang operator tunda memberitahu, kereta saya tidak sepatutnya ditunda kerana ia menggunakan transmisi automatik dan akan menyebabkan kerosakan kotak gear sebelum menawarkan khidmat untuk menarik jentera saya.

Oleh kerana upah ditawarkan tidak terlalu mahal, saya bersetuju atas dasar ia lebih mudah dan selamat. Adakah benar apa yang dinyatakan operator berkenaan?

AHMAD LIZAM

Selangor

Menunda kereta dengan kotak gear automatik tidak sama dengan kenderaan transmisi manual.

Anda perlu menaikkan roda pacuan dari permukaan jalan supaya roda itu tidak berpusing ketika menunda kereta bagi mengelak roda yang berhubung dengan transmisi automatik berputar.

Ia boleh dilakukan dengan menggalas roda pacuan itu dengan sepasang roda lain atau menggantung bahagian kereta itu ketika menunda.

Jika ia kereta pacuan roda belakang, anda perlu menundanya dengan semua roda di atas jalan.

Anda boleh mengeluarkan aci pemacu dan jika tidak dapat dilakukan, jangan ditunda kereta itu.

Mungkin ada yang beranggapan kereta transmisi automatik boleh ditunda dengan meletakkan gear pada kedudukan Neutral, tetapi ia tidak benar bagi semua kereta.

Adalah lebih selamat untuk tidak mengambil risiko merosakkan transmisi anda. Ini kerana ketika enjin dimatikan dan transmisi tidak berfungsi, sistem aliran minyak di dalamnya gagal bertindak dan putaran roda di atas jalan apabila menunda mampu menyebabkan kerosakan serius.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:01 AM