Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kelesuan pemain perseorangan negara di Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia minggu lalu menarik perhatian ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengharapkan agar perkara itu segera diperbaiki.

Chong Wei yang turut berkesempatan menyaksikan rakan senegaranya turun ke gelanggang di Stadium Perpaduan, Kuching, mengakui situasi berlaku bukan permulaan baik buat pemain perseorangan.

“Kita perlu lihat dari segi kemajuan diri dan perwatakan pemain. Saya memang luar biasa berbanding pemain lain. Jurulatih perlu menggunakan pendekatan psikologi dan lebih keras terhadap mereka,” katanya.

Jelasnya, masalah lemah mental sebelum ini sudah dibincangkan antara jurulatih perseorangan Rashid Sidek, Tey Seu Bock dan Hendrawan.

“Semua 15 pemain perseorangan tidak mempunyai perwatakan yang sama, kadang-kadang ada pemain mahu berusaha keras dan ada tidak. Bagaimanapun, untuk menjadi luar biasa seseorang pemain itu harus fokus kepada diri sendiri.

“Apabila jurulatih suruh buat sesuatu ketika latihan, buatlah hingga habis dan jangan fikir soal letih. Latihan tambahan perlu dilakukan atas kerelaan sendiri,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Chong Wei yang masih digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkata, bukan semua pemain perseorangan negara harus tiru apa yang dia lakukan, tetapi yang penting mahu perbaiki disiplin diri.

“Kalau tiru, saya rasa semua berlatih bersama, tapi mereka harus fokus kerana apa yang jurulatih arahkan bukannya untuk orang lain, tapi bagi kemajuan diri sendiri.

“Dulu Datuk Misbun (Sidek) paksa saya. Saya jadi luar biasa sebab ikut arahannya. Peranan jurulatih memang penting, saya sendiri anggap Misbun seperti bapa, dia bukan saja ajar bermain badminton, tetapi segala-galanya termasuk bercakap dengan orang (media).

“Bagaimanapun, saya tengok pemain muda seperti Soo Teck Zhi dan Soong Joo Ven bermain baik di Kuching, cuma mereka kurang kepantasan apabila bermain di rubber set. Saya harap mereka memperbaiki diri menjelang GP Emas India minggu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 6:52 AM