BABAK latihan teater Iyakah Tok Janggut.
BABAK latihan teater Iyakah Tok Janggut.

Bahang kehangatan Festival Teater Kebangsaan Malaysia 2014 yang akan berlangsung pada 26 Oktober hingga 1 November ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur semakin dirasai oleh semua peserta yang mengambil bahagian.

Persiapan dan latihan kini giat dijalankan oleh kumpulan Persatuan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) diterajui Zack Zaideen yang mewakili Kelantan serta kumpulan Seni Teater Kursiah Universiti Malaya diterajui Mohammad Firdaus Kamaruddin mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Zack, seorang aktivis teater dikenali di Kelantan mempertaruhkan naskhah berjudul Iyakah Tok Janggut yang mengangkat kisah sebenar di sebalik pembunuhan tokoh pahlawan terkenal dalam kalangan rakyat negeri itu.

"Kisah Tok Janggut biasa dipentaskan tapi dalam versi Inggeris. Untuk kali ini saya ambil cerita daripada pandangan keluarga terdekat Tok Janggut untuk angkat cerita sebenar yang berlaku.

"Bukannya saya nak mengubah sejarah, tapi ha­nya kaji sejarah dan melihat satu titik penjelasan yang paling dekat dengan ma­syarakat sekitar. Saya temui warisnya sendiri untuk mendapatkan fakta sebenar.

"Di sini saya dapat kupas sejarah Tok Janggut. Saya cari semula sebab Inggeris keluarkan cerita yang lain contohnya kenapa jenazah Tok Janggut diarak seluruh bandar Kota Bharu selepas digantung sedangkan Allahyarham berasal dari Pasir Putih.

"Di sini kelihatan mereka cuba nak kelirukan masyarakat kerana penduduk Kota Bharu tak kenal siapa Tok Janggut," katanya.

Zack berkata, naskhah ini dianggap istimewa kerana kali pertama dipentaskan kepada penonton. Dia juga akan mengete­ngahkan bakat baru terdiri daripada bakal guru yang menuntut di Institut Pendidikan Guru Kota Bharu.

"ASPEK menampilkan 16 pelakon termasuk seorang pelakon India dan empat tenaga produksi. Kami sudah terbabit dalam Festival Teater yang ketika itu dikenali sebagai Pekan Teater sejak 2001, 2002, 2003, 2004 dan 2008," katanya.

Sementara itu Firdaus pula tampil dengan nas­khah berjudul Penjuru 4 Karma (P4K). Kisah kematian yang berlaku di hospital mencetuskan idea buatnya menghasilkan cerita ini.

"Ini adalah teater genre psiko thriller dan berkonsep realisme. Ceritanya me­ngenai pasangan suami isteri yang membalas dendam terhadap kematian anaknya yang dirawat di hospital.

"Mereka tuduh pihak hospital cuai lalu bertindak menawan dan menculik kakitangan hospital. Teater ini agak keras kerana ada babak penderaan dan pembunuhan. Untuk itu saya gunakan kesan khas," katanya yang juga pelajar Sarjana Muda Fakulti Pergigian.

Menurutnya, visual untuk kisah yang hanya berlaku pada satu malam ini banyak diperolehi daripada filem. Kisahnya yang dipaparkan juga berdasarkan pengalaman peribadinya.

"Kekuatan teater ini terletak pada aspek teknikalnya. Harap penonton bukan fikir mengenai pembunuhan atau isu lain tapi pengajaran sebenar di sebalik cerita ini. Ia pernah dipentaskan ketika Karnival Teater UM 2013.

"Teater ini juga pernah bertanding dalam Festival Teater KL tahun lalu, tapi naskhah ini diperkemaskan lagi untuk bertanding dalam Festival Teater Kebangsaan Malaysia 2014," katanya.

Dua pelakon teater ini, Nur Atiqah Jani yang memegang watak ibu dan Rashidi Shamuddin (Doktor Imran) mengakui cabaran yang dihadapi dan berjanji memberikan lakonan terbaik mereka dalam Penjuru 4 Karma.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:00 AM