Kuala Lumpur: Bagi menenangkan hati pelanggan setia syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkenaan Tan Sri Tony Fernandes hari ini mengutus satu emel peribadi kepada semua pelanggannya.

Difahamkan, senarai penerima emel itu dipercayai diambil daripada pangkalan data syarikat penerbangan tambang murah berkenaan bagi melahirkan penghargaan kepada pihak yang sentiasa memberi sokongan dalam menghadapi saat getir atas kejadian pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Selat Karimata, Laut Jawa, 28 Disember lalu.

Kandungan emel berkenaan antaranya menyentuh mengenai perkongsian rasa dukacita dan mengajak semua pihak berdoa untuk mangsa nahas pesawat QZ8501.

“Beberapa minggu kebelakangan ini menjadi minggu yang paling sukar dalam hidup saya sejak memulakan operasi AirAsia 13 tahun lalu.

“Saya mahu menyampaikan rasa terima kasih atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan kepada pihak kami. Semua mesej rasa peduli dan kata-kata semangat daripada anda benar-benar memberi kekuatan kepada kami supaya menjadi lebih baik. Kami akan terus menyampaikan perkembangan terkini sepanjang proses siasatan,” katanya.

Menerusi catatannya itu, beliau turut memberi jaminan untuk syarikat penerbangan itu menilai semula dan menambah baik produk serta perkhidmatan mereka.

“Kami lebih fokus untuk memberikan anda semua yang terbaik. Walaupun dalam masa yang paling sukar, kami akan terus menjadi yang terbaik di dunia dan lebih baik untuk anda.

“Bersama keseluruhan 17,000 AirAsia Allstars, kami meminta anda menyertai kami untuk mendoakan keluarga dan orang yang dikasihi mereka yang berada dalam pesawat QZ8501,” katanya.

Emel yang ditandatangan oleh Tony itu turut disertakan hashtag #togetherwestand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 2:36 PM