Paris: Peneraju penerbangan tambang murah terkemuka, AirAsia Bhd (AirAsia) dan syarikat sekutunya, AirAsia X terus menempa nama di pentas antarabangsa apabila masing-masing menerima dua anugerah berprestij Skytrax World Airline sempena Pertunjukan Udara Paris ke-51, di Le Bourget, di sini, semalam.

AirAsia dipilih sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia dan Asia untuk kali ketujuh berturut-turut manakala AirAsia X penerbangan tambang murah terbaik dunia bagi kelas Premium serta tempat duduk Premium.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, keempat-empat anugerah itu pengiktirafan besar kepada AirAsia dan AirAsia X untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang.

Skytrax adalah penanda aras antarabangsa bagi kecemerlangan dalam industri penerbangan dan pengiktirafan paling berprestij dalam industri penerbangan dengan 19 juta kaji selidik dilakukan kepada pelanggan dari seluruh dunia meliputi lebih daripada 160 warganegara.

“Kami berterima kasih kepada penumpang di atas sokongan selama ini walaupun melalui tahun yang sukar selepas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 terhempas tahun lalu.

“Perjalanan kami tidak terhenti di sini, kami akan berusaha menjadikan penerbangan lebih ceria dan berpatutan pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas menerima anugerah itu di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:41 PM