Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah memeriksa kereta yang dihanyutkan banjir yang hampir meragut nyawa dua wanita. FOTO Amran Yahya
Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah memeriksa kereta yang dihanyutkan banjir yang hampir meragut nyawa dua wanita. FOTO Amran Yahya
Raja Noraina Raja Rahim dan Amran Yahya


Kuala Pilah: Tindakan pantas dua anggota bomba berjaya menyelamatkan dua wanita yang terperangkap dalam kereta yang dihanyutkan arus di Kampung Sawah Liat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, dua anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Mohd Jepliey Ambasing, 23, serta Wan Hazizi Abd Halim, 33, berada di lokasi bersama 10 rakan setugas untuk menyelamat mangsa banjir.

Mohd Jepliey berkata, dia melihat sebuah Nissan Sentra dibawa arus dan terdapat dua wanita terperangkap di dalamnya.

"Saya dan Wan Hazizi nekad terjun ke dalam parit dan berpaut pada kereta untuk menyelamatkan mangsa yang sedang tenggelam.

"Ketika itu, saya hanya memikirkan nyawa mereka berada di ambang maut. Kami mendekati kereta itu sebelum menarik keluar mangsa dan mengarahkan mereka berpaut pada pokok bagi mengelak dihanyutkan arus," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, dia turut dibantu rakan lain untuk membawa mangsa keluar dari parit dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Jefri Amat berkata, tugas menyelamat menjadi tanggungjawab mereka dan kejayaan anggotanya itu menjadikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia tahun ini, amat bermakna kepada pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 9:26 PM