Dr Suzana (kiri) dan Kwi Lah didenda RM95,000. FOTO Mary Victoria Dass
Dr Suzana (kiri) dan Kwi Lah didenda RM95,000. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Dua wanita termasuk doktor perubatan yang juga pengarah pusat kecantikan Seoul Beauty (M) Sdn Bhd didenda RM95,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini kerana menyediakan pusat jagaan ambulatori swasta yang menawarkan pembedahan estetik tanpa berlesen.

Dr Suzana Hasnan, 52, dan Eng Kwi Lah, 54, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Mohammad Khalid Ab Karim.

Mereka didakwa sebagai orang yang bertanggungjawab kepada Seoul Beauty (M) Sdn Bhd, pada 12.45 tengahari pada 3 September 2015, di alamat no 45, ground floor dan lower ground floor, Jalan Molek 1/5, Taman Molek, Johor Bahru didapati menyediakan suatu pusat jagaan ambulatori swasta tanpa lesen dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut perenggan 3 (c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dihukum mengikut sub perenggan 3 (c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dihukum di bawah sub perenggan 5 (2)(aa) akta sama.

Bagi kesalahan mengikut subseksyen 3 (c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Pusat kecantikan Seoul Beauty (M) Sdn Bhd juga didakwa pada 3 September 2015, di alamat no 45, ground floor dan lower ground floor, Jalan Molek 1/5, Taman Molek, Johor Bahru didapati menyediakan suatu pusat jagaan ambulatori swasta tanpa lesen dengan KKM. 

Syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan di bawah perenggan 3 (c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dihukum di bawah sub perenggan 5 (1)(b)(i) akta sama yang boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

Bagi pertuduhan pertama, Dr Suzana dan Kwi Lah masing-masing dijatuhi hukuman denda RM25,000 atau hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda manakala syarikat yang diusahakan mereka dikenakan hukuman denda RM45,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nurul Khairiyah Samsudin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Lim Chon Sin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 2:05 PM