London: Pemain golf tidak lagi bimbang kesalahan mereka dikenal pasti penonton di rumah selepas Royal & Ancient dan USGA bersetuju mengehadkan penggunaan bukti video, semalam.

Badan induk peraturan golf itu memutuskan dengan berkuatkuasa serta-merta, untuk melarang penggunaan rakaman video yang mana kesalahan terlalu kecil dan ia tidak boleh dikesan oleh mata kasar.

“Kami menimbang penggunaan reviu video dalam permainan ini dan berasa penting untuk memperkenalkan satu keputusan yang muktamad,” menurut Martin Slumbers (gambar), ketua eksekutif R&A, dalam satu kenyataan.

“Golf sering kali satu permainan dengan integriti dan kami mahu memastikan ia kekal sebaik mungkin dengan pertimbangan wajar daripada pemain berbanding apa yang boleh ditunjukkan menerusi teknologi video.”

Pihak berkuasa golf, yang membentuk satu kumpulan kerja bersama Jelajah LPGA, Jelajah PGA dan Jelajah Eropah, bertindak kerana kecanggihan teknologi ulang tayang berdefinisi tinggi yang boleh dilihat penonton.

Ia susulan kesalahan pemain AS, Lexi Thompson yang dikenal pasti penonton televisyen baru-baru ini sekali gus mengakibatkan dia terlepas peluang menjuarai kejohanan ANA Inspiration, satu kejuaraan utama dalam jelajah wanita. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 9:38 AM