Norasikin Daineh


Tawau: Remaja maut dipercayai akibat dipukul oleh abang rakannya di kawasan padang di Taman Gembira berhampiran Kampung Sentosa, 6 petang semalam.

Pelajar tingkatan empat itu ditemui meninggal dunia oleh ibunya di dalam bilik pada 7.30 pagi hari ini di kediaman mereka di Kampung Pisang.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ibu mangsa memaklumkan terdapat kesan lebam di pipi manakala hidung anaknya berdarah ketika pulang ke rumah, semalam.

“Mangsa memberitahu dia dipukul oleh orang tidak dikenali sebelum masuk ke bilik dan berbaring di lantai.

"Bagaimanapun, pagi tadi ketika ibunya mahu mengejutkan mangsa, dia didapati sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Fadil berkata, suspek berusia 18 tahun diberkas dan hasil siasatan dia adalah abang kepada rakan mangsa.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, mangsa ada berjumpa adik perempuannya berusia 15 tahun. Suspek yang berang memarahi adiknya dan memukul mangsa.

“Dia kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 3:21 PM