HELIKOPTER terhempas di SMK Balung, Tawau.
HELIKOPTER terhempas di SMK Balung, Tawau.
Norasikin Daineh


Tawau: Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus mengesahkan juruterbang helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) parah dalam kejadian helikopter terhempas di SMK Balung, pagi tadi.

Dalam kejadian pada 8.53 pagi itu, lapan pelajar tingkatan empat yang terdiri daripada lima lelaki dan tiga perempuan cedera manakala dua pelajar perempuan trauma dihantar ke Hospital Besar Tawau.

Fadil berkata, 13 kru helikopter yang cedera serta juruterbang parah turut dikejarkan ke hospital yang sama.

"Disahkan ada mangsa yang parah bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan juruterbang adalah mangsa terkahir yang dikeluarkan dari pesawat terbabit.

"Helikopter disediakan sekiranya ada mangsa yang akan dipindahkan ke hospital lain," katanya ketika ditemui dalam sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Fadil berkata, maklumat akan dilaporkan dari semasa ke semasa dan buat masa ini sekolah ditutup untuk tujuan siasatan lanjut.

Sementara itu, Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, helikopter membawa 14 penumpang itu berlepas dari pangkalan pada 7.35 pagi dan akan menubuhkan pasukan epnyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 1:18 PM