Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Polis menahan dua individu termasuk seorang eksekutif operasi berusia 26 tahun selepas dipercayai memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Institusi Diraja Johor menerusi Facebook (FB).

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, lelaki itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, 4 petang tadi.

"Ia susulan satu laporan diterima polis mengenai kenyataan jelik yang dimuat naik lelaki itu dalam FB pada 25 Mac lalu.

"Sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka bagi mengesan individu yang dipercayai memuat naik kenyataan itu," katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis turut menahan seorang operator kilang wanita berusia 40 tahun selepas dipercayai membuat akaun FB palsu bagi menyamar sebagai keluarga Diraja Johor.

Katanya, wanita itu ditahan di lokasi sama petang tadi untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyamar keluarga Diraja Johor pada 19 Januari lalu.

"Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 9:36 PM