NICO G membuat penampilan khas di episod keenam.
NICO G membuat penampilan khas di episod keenam.
HAFEEZ mempersembahkan Inilah Nasibku.
HAFEEZ mempersembahkan Inilah Nasibku.
Michelle Gun


Persembahan hebat Hafeez Mikail pada episod keenam Perang Bibir Khamis lalu berjaya mengetepikan Syafiq Kyle dan Ramona Zam Zam, sekali gus melayakkan dirinya dinobatkan sebagai juara minggu ini.

Bertemakan hip hop dan R&B, program realiti itu menyaksikan Hafeez mempersembahkan Inilah Nasibku dan suasana pentas bertambah hangat apabila penyanyi lagu itu, Nico G turut beraksi di pentas.

Secara keseluruhan, pelakon drama bersiri Hati Perempuan ini menjuarai episod terbabit dengan mengumpul 194 markah.

Selaku juara, Hafeez memilih pelakon Azrel Ismail untuk melakukan perang bibir pada episod ketujuh yang akan berlangsung pada jam 9.30 malam ini di TV9.

Episod baru itu bertemakan Bollywood dan turut menyaksikan persaingan sengit di antara Reen Rahim dan Hanna Aqeela.

Selepas bersiaran sejak 2 Mac lau, Perang Bibir menyaksikan Syazwan Zulkifly, Mawar Rashid, Zulin Aziz, Neera Azizi, Izreen Azminda dan Hafeez layak ke pusingan separuh akhir.

Dalam episod keenam, Hafeez mendahului Syafiq dan Ramona di pusingan pertama iaitu persembahan ‘lip sync’ menerusi lagu hip hop dan R&B pilihan.

Ramona membawakan lagu Alicia Keys berjudul Girl on Fire manakala Syafiq beraksi dengan lagu Hotline Bling nyanyian Drake.

Seterusnya, peserta dikehendaki melakukan cabaran Whisper Challenge dan mereka perlu memakai fon kepala yang dipasang muzik kuat sambil meneka perkataan disebut pengacara Sherry Alhadad dan Dennis Yin.

Sekali lagi, Hafeez menang permainan itu dan diberikan 50 markah manakala Ramona pula 25 markah dan Syafiq gagal.

Bagi cabaran Teka Lagu pula memerlukan peserta meneka judul lagu berdasarkan lirik diberikan.

Kali ini, Syafiq menewaskan dua pesaingnya dan peminatnya diberikan ‘clapper’ untuk menambahkan sorakan terhadap pelakon itu.

Dalam segmen akhir, Hafeez menyampaikan lagu Sunday Morning manakala Syafiq dan Ramona masing-masing menghiburkan penonton dengan Aku Bukan Superstar serta Teman Tapi Mesra.

Perang bibir terbitan Primeworks Studio sebanyak 12 episod ini menawarkan wang tunai sebanyak RM30,000 untuk juara.

Bagi penonton yang terlepas siaran Perang Bibir di TV9 boleh menyaksikannya di portal video nombor satu Malaysia, www.tonton.com.my.

Maklumat lanjut boleh melayari laman web www.tv9.com.my atau mengikuti laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV9 iaitu @TV9Malaysia.

Gunakan hashtag #PerangBibir untuk menghangatkan perbualan mengenai program ini di laman media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 1:41 AM