GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) menahan ahli perniagaan bergelar Tan Sri pada 10. 30 pagi tadi kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembekalan geotube bagi kerja-kerja pemulihan sungai dengan menggunakan kaedah penggalian (Dredging and Excavation).

Turut ditahan dalam operasi yang dilancarkan serentak oleh SPRM adalah empat pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuk Pengarah Bahagian Projek Khas dan jurutera tempatan berusia 33 hingg 63 tahun di Johor, Melaka dan Seremban.

Semua mereka disyaki bersubahat dengan Tan Sri berkenaan yang juga pemilik syarikat dilantik untuk membekalkan alat geotube untuk projek JPS.

Difahamkan, suspek mengemukakan invois pembayaran berjumlah hampir RM13 juta bagi membekalkan 358 unit geotube.

Hakikatnya, hanya 89 unit yang dibekalkan bernilai kira-kira RM4 juta dan akibatnya, kerajaan kerugian hampir RM9 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya(Operasi) SPRM Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kemungkinan lebih ramai lagi dijangka ditahan pada masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 7:46 PM