Oleh Muhammad Apendy Issahak


Kampung Gajah: Lapan puluh lima pegawai psikologi ditempatkan di negeri yang dilanda banjir oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memberi sokongan psikologi terhadap mangsa dan petugas di pusat pemindahan banjir.

Timbalan Menterinya Datuk Azizah Mohd Dun berkata, 30 pegawai psikologi ditempatkan di Kelantan, Perak (19), Pahang (15), Terengganu (11), Kedah (tujuh) dan tiga pegawai di Perlis.

"Tugas mereka adalah untuk mengurangkan perasaan resah, bimbang, muram, sedih dan pelbagai perasaan negatif yang muncul berikutan bencana besar itu," katanya selepas meninjau pusat pemindahan banjir di Pusat Latihan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Galah di sini, hari ini.

Menurutnya, pegawai terbabit sudah ditempatkan di negeri yang dilanda banjir sejak bencana itu berlaku sejak 24 Disember lalu sehingga sekarang.

"Sehingga kini sebanyak 356 sesi psikoterapi sudah dilakukan di pusat pemindahan banjir membabitkan 9,070 kanak-kanak dan 184 dewasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 3:41 PM